Kelab Usang Tawar Khidmat Seks

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Taman Connaught, Cheras dikesan bukan sahaja beroperasi secara haram, malah turut menawarkan khidmat seks sebagai tarikan kepada pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.

Kegiatan haram pemilik premis bagaimanapun berjaya dibongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman menyerbu premis terbabit jam 11 malam kelmarin.

Menurut sumber, ketika diserbu terdapat 28 pelanggan yang asyik berhibur dan meneguk minuman keras.

Beliau berkata, polis kemudiannya menahan sembilan pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam berusia dalam lingkungan 20-an, seorang deejay serta juruwang warga tempatan.

“Siasatan mendapati kesemua GRO itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

“Selain melayan pelanggan minum dan berhibur, GRO itu turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan yang berminat,” katanya, semalam.

Sumber berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks hanya perlu membuat tempahan, sebelum membawa GRO itu ke hotel berdekatan.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan premis sudah berusia.

“Ketika diserbu, tiga daripada sembilan GRO terbabit sudah ditempah untuk dibawa ke hotel berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan premis usang yang tidak mempunyai papan tanda nama itu beroperasi tanpa lesen sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, waktu operasi pula bermula jam 6 petang sehingga 3 pagi. Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM227 serta beberapa peralatan perniagaan di premis itu.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing dan Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.