Ditangkap Curi Motorsikal Untuk Lumba Haram

KUCHING 9 Mei – Jika rakan sebaya menghabiskan masa di sekolah belajar, tiga remaja lelaki berusia 16 tahun pula ligat menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar bandar raya ini.

Namun, perbuatan jenayah itu berakhir apabila seorang daripada mereka berjaya dicekup polis di Lorong Merdeka, Kampung Tupong di sini pada pukul 11.35 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, remaja terbabit ditangkap sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda setelah diserahkan oleh orang kampung yang memberkasnya kerana dipercayai mencuri motosikal milik penduduk di situ.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 daripada suspek yang dilaporkan hilang pada 1 Mei lalu.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudian berjaya memberkas dua lagi rakan suspek juga berusia 16 tahun masing-masing pada pukul 1 pagi dan 5 petang, keesokannya.

“Siasatan terhadap mereka membawa kepada penemuan tiga buah lagi motosikal di sebuah rumah di Kampung Tupong Batu di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini kelmarin.

Menurut Roslan, empat buah motosikal yang dirampas iaitu tiga jenis Honda EX5 dan sebuah Mode­nas Kriss bernilai RM10,000.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek sudah berhenti sekolah dan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan kes curi motosikal.

Katanya, ketiga-tiga mereka yang disahkan negatif mengambil dadah, mencuri kenderaan itu untuk kegunaan sendiri dan kegiatan lumba haram.

“Mereka disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda jika disabitkan bersalah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.