Anak Nyaris Di Hempap Pokok

MARANG – Sebuah keluarga di Kampung Surau Haji Mat Zain, di sini, melalui detik cemas apabila rumah mereka dihempap pokok ketika angin kencang dan hujan melanda kampung berkenaan, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Mismida Sidek, 40, berkata, ketika kejadian, enam anaknya sedang duduk dan ada yang sedang bermain di bahagian depan rumah.

Menurutnya, sebelum itu, dia terdengar bunyi angin kencang agak luar biasa ketika hujan melanda kawasan berkenaan.

“Saya rasa tak sedap hati dan memang nak panggil anak-anak masuk ke dalam rumah. Tapi belum sempat panggil mereka, tiba-tiba pokok leban berhampiran rumah tumbang menimpa atap tempat mereka duduk dan bermain,” katanya.

Ketika itu, Mismida berkata, dia berada di bahagian dapur rumah manakala suaminya, Roslan Abdul Rahman, 45, tiada di rumah kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kampung Bukit Sawa.

“Saya segera keluar dan tergamam seketika kerana terkejut lihat pokok itu sudah tumbang menimpa atap bahagian depan rumah, mujurlah anak-anak yang berada di situ sempat lari selamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, sekumpulan anggota dari Pasukan Sukarelawan Bomba dan Penyelamat Sri Payong, di sini, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat.

Pegawai pasukan, Hamzah Long, 48, berkata, enam anggota sukarelawan yang tiba di tempat kejadian kemudian membantu menebang pokok dan membersihkan sisa pokok tumbang yang menimpa rumah mangsa.

Menurutnya, tenaga anggota sukarelawan itu bukan hanya ditagih apabila berlaku kebakaran, tetapi mereka turut membantu masyarakat bersesuaian dengan objektif penubuhan pasukan sukarelawan itu.

“Ini bukan perkara baru bagi kami anggota bomba sukarelawan Sri Payong.

“Selain membantu pihak Bomba dan Penyelamat Marang dan daerah lain, kerja-kerja sosial seperti ini adalah satu amalan diterapkan dalam kalangan sukarelawan kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.