Air Lombong: Kerajaan Negeri Perlu Telus

KUALA SELANGOR – Kerajaan negeri digesa menjalankan kajian lebih terperinci berkenaan kandungan kimia dalam air lombong jika mahu menggunakannya untuk membantu memenuhkan empangan.

Ketua Pembangkang Selangor, Mohd Shamsudin Lias berkata, kerajaan negeri juga perlu telus dan bersedia mendedahkan semua maklumat kandungan air lombong jika mahu melindungi rakyat negeri ini dan bukannya cakap kosong.

“Kena buat kajian hari-hari sampai tahap keyakinan rakyat 99 peratus. Biar betul-betul selamat baru boleh digunakan. Tapi kerajaan negeri kena ingat, air lombong yang dipam hari-hari semakin lama akan semakin berkurangan.

“Bila kering, tahap kandungan kimia akan meningkat seperti yang berlaku di mana-mana empangan yang berdepan paras kandungan ammonia yang tinggi selepas mengalami penyusutan.

“Bagi saya, alternatif lebih praktikal adalah menerima air terawat yang ditawarkan Negeri Sembilan yang bersedia jual air maksimum sebanyak 20 juta gelen (91 juta liter) sehari menerusi Loji Rawatan Air (LRA) baharu Ngoi-Ngoi di Pantai, Seremban.

“Tapi kerajaan negeri menolak dan mahu laksanakan projek Hybrid Off River Augmentation System (Horas) 600 Negeri Selangor di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya di sini.

“Saya difahamkan projek itu dijangka siap pada 2016 nanti, tapi bagaimana nasib rakyat dalam tempoh dua tahun ini? Jangan sampai kerana ego, rakyat menerima akibatnya,” katanya selepas hadir Majlis Pengenalan Restoran D’ Coral Ikan Bakar Thai Seafood Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Selangor di Pasir Penambang, kelmarin.

Adun Sungai Burong itu menjelaskan, tindakan kerajaan negeri yang membeku Perbelanjaan Modal (Capex) pada 2009 lalu turut menyumbang masalah krisis air di Selangor semakin buruk.

“Tindakan itu menyebabkan Syabas tidak dapat membuat kerja penambahbaikan, menaik taraf, mengganti atau pembangunan projek baru sistem infrastruktur agihan air ini yang boleh membantu menurunkan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW),” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mempertikaikan kenyataan perdana menteri berhubung krisis air di negeri ini.

Menurutnya, memang terbukti kerajaan negeri hanya pandai tuding jari dan menyalahkan pihak lain sedangkan tiada tindakan proaktif diambil.

“Saya menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak itu apabila jelas terbukti kerajaan negeri sendiri menolak pelaksanaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan kononnya mahu mencari penyelesaian holistik termasuk penstrukturan semula air.

“Sekiranya pada masa itu kerajaan negeri bersetuju membenarkan pelaksanaan projek Langat 2 itu, air yang disalurkan bukan saja dapat menampung keperluan rakyat bahkan boleh disalurkan ke empangan lain.

“Sebab sumber air mentah sudah tentu ada dan kesan krisis air dapat diminimumkan. Mungkin ketika ini rakyat tak perlu berdepan isu catuan air sehingga hidup mereka, susah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.