KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu keputusan analisa terhadap 10 video dakwaan skandal rasuah membabitkan Adun Sabah berkaitan isu pelesenan lombong mineral bagi membantu siasatan yang masih dijalankan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, sebelum ini apabila keluar lapan video di portal berita, pihaknya menghantar video berkenaan kepada Makmal Forensik SPRM yang mempunyai pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia dan mereka mempunyai kepakaran.
Beliau berkata, daripada analisa yang dibuat, hasil laporan menunjukkan video terbabit adalah tidak tulen dan banyak berlaku suntingan.
“Pegawai makmal forensik memaklumkan berlaku banyak pecahan pada ‘frame’ video itu menunjukkan berlaku suntingan.
“Dalam kita menjalankan siasatan kita mengambil kira perkara ini, maka ia tidak boleh digunakan sebagai keterangan menyebabkan tiada sebarang pengesahan dan tidak tahu siapa yang benar, sama ada Albert Tei (pemberi maklumat) atau Adun,” katanya ketika muncul dalam temu bual bersama Radio SabahFm di Kota Kinabalu, lapor BH pada Khamis.
Azam berkata, hanya baru-baru ini sahaja beliau (Albert) hendak berkongsi video yang dikatakan tulen dan ia sudah dihantar ke makmal forensik untuk dianalisa.
“Saya sedang menunggu laporan analisa itu kerana ia membabitkan 10 video dan tidak pasti durasinya dan mungkin lebih panjang daripada video sebelum ini.
“Bagaimanapun seperti saya tegaskan sebelum ini walaupun keputusan laporan belum diperoleh, semua yang terlibat kita sudah panggil dan menayangkan video itu untuk mendapatkan pengesahan, cuma siasatan itu tidak boleh saya dedahkan lagi hasilnya,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan rasuah membabitkan Adun terbabit bukanlah satu perkara yang boleh diselindungkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Saya dah beritahu sebelum ini, ada dua kertas siasatan dibuka iaitu terhadap Albert dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) dan membabitkan lapan Adun itu serta video itu.
“Jadi semua pihak perlu faham dan saya dah jelas banyak kali.., jadi saya harap semua kena bersabar lah.
“Dalam kita menjalankan siasatan ini, kita tidak ‘fully guided’ (ikut telunjuk) kita bukan ikut cakap public opinion (pendapat awam) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal berita tempatan melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun negeri ini didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di Sabah.