KUALA LUMPUR – Derma yang dikutip bukan untuk Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebaliknya sumbangan berkenaan adalah untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran Putra Heights.
“Jika anda tidak boleh membantu, sekurang-kurangnya jangan menghalang,” ujar Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Ahli Parlimen Segambut itu menjawab pertikaian daripada pengkritik yang mempersoalkan “mengapa mengutip derma sedangkan DAP adalah sebahagian daripada kerajaan?”.
“Sesetengah pengkritik adalah lawan politik kita yang tidak dapat mengutip derma sebanyak itu (tiada guna menjelaskan kepada kumpulan ini) dan sesetengah pengkritik mungkin tidak mengetahui sebab di sebalik dorongan ini.
“Untuk siapa sumbangan ini? Derma ini bukan untuk DAP. Sumbangan ini adalah untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran Putra Heights.
“Mengapa kutip derma? Apabila Malaysia dilanda bencana alam, kemalangan serius atau krisis, sesetengah rakyat Malaysia ingin membantu mangsa tetapi mereka tidak tahu saluran yang dipercayai. Saya secara peribadi menerima begitu banyak pertanyaan daripada rakyat Malaysia yang baik hati yang ingin membantu mangsa Putra Heights tetapi mereka tidak mahu memberikan derma dalam bentuk barangan (terlalu banyak) dan lebih suka menderma wang.
“Justeru DAP memudahkan perkara ini dengan membuka akaun kami untuk kutipan dan setiap ringgit yang dikutip diisytiharkan kepada umum,” jelas Hannah.
Berkait persoalan mengapa kerajaan tidak boleh memberi wang? Hannah memaklumkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta agensi mereka telah mengumumkan pelbagai bantuan kewangan.
“Inisiatif kutipan derma ini adalah secara sukarela, sama sekali tiada paksaan,” ujarnya.
Untuk rekod, pihak DAP telah mengambil langkah proaktif membuka tabung bantuan untuk disalurkan kepada para mangsa kebakaran di Putra Heights.
“Manakala kalau dikenang semula, ada sebuah parti pernah buka tabung atas nama “derma jihad” untuk bantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura yang kalah saman fitnah terhadap tiga pemimpin DAP. Bukan sedikit, tetapi lebih RM800,000 dikutip untuk seorang individu sahaja,” katanya.