Lori Penerangan PAS Jadi Penyelamat Majlis Kempen BN

REMBAU – Program Majlis Ramah Mesra Bersama Calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sega, Kuala Sawah malam semalam sedikit terganggu apabila bekalan elektrik terputus.

Gangguan lebih 15 minit yang disebabkan oleh masalah pendawaian itu mengakibatkan keadaan di dalam khemah bergelap serta mikrofon yang digunakan tidak dapat berfungsi.

Mujur kehadiran lori pentas penerangan Pas dari Kedah yang digunakan bagi membantu sepanjang kempen BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau tiba tidak lama selepas itu dengan membawa sekali satu set generator.

Bantuan daripada lori pentas penerangan Pas itu membolehkan khemah terang semula buat seketika sebelum keadaan kembali bergelap kerana generator yang digunakan itu kehabisan minyak.

Keadaan kembali pulih sepenuhnya apabila pendawaian dapat diperbaiki sebaik sahaja kehadiran calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun kehadiran lori pentas penerangan Pas itu cukup menarik perhatian ketika agenda penyatuan ummah UMNO dan Pas dilihat berada dalam landasan yang tepat ketika ini.

Menurut Ketua Penerangan Assabiqun Pas negeri Kedah, Safar Mat, 62, lori penerangan Pas itu telah berada di Rantau bagi membantu kempen BN sejak hari penamaan calon pada 30 Mac yang lepas.

“Sejak tahun 2008, lori ini telah berfungsi sebagai pentas ceramah terutamanya ceramah berkelompok. Ia juga mempunyai bumbung selain lengkap dengan generator dan pembesar suara.

“Tadi kami dapat bantu sebentar namun generator kehabisan minyak. Bagi kami benda-benda ini penting kerana semasa ceramah Pas memang selalu berlaku masalah ‘blackout’,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Menurut Safar lagi, lori pentas penerangan Pas itu telah mula digunakan untuk membantu BN semasa PRK Semenyih yang lalu.

Malah tambahnya, lori itu sebelum ini pernah digunakan oleh beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan pada masa ini semasa mereka berceramah menentang UMNO dan BN suatu masa dulu.

“Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah naik lori ni dulu serta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tumbangkan UMNO dan BN. Begitu juga Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, semua pernah naik, berpuluh kali.

“Dulu mereka kuat memaki UMNO dengan pentas inilah, tapi kali ini kita bantu BN pula. Saya tidak boleh terima apabila mereka menghina Islam serta Presiden Pas, saya pernah diajak untuk menyertai mereka tetapi saya tak berminat,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.