SPR Tetapkan Penamaan Calon 28 April, Pengundian 9 Mei

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 April (Sabtu) ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh 5 Mei (Sabtu) hari pengundian awal dan 9 Mei (Rabu) sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tempoh berkempen PRU-14 ialah 11 hari. Seramai 14,940,627 pemilih berdaftar layak mengundi kali ini berdasarkan daftar pemilih Suku Tahun Keempat 2017 yang telah disahkan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata jumlah kawasan parlimen yang dipertandingkan dalam PRU-14 ini kekal 222 kerusi sementara sejumlah 505 kerusi Dewan undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dipertandingkan tidak termasuk Sarawak.

Memetik laporan BH Online, beliau turut menjelaskan SPR melantik telah seramai 222 pegawai pengurus pilihan raya dan menubuhkan 445 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR).

“Seramai 259,391 petugas dilantik dalam kalangan penjawat awam bagi membantu mengendalikan proses PRU-14 yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM500 juta.

“Sebanyak 8,989 premis dan bangunan digunakan sebagai pusat mengundi, yang merangkumi hampir 29,000 saluran mengundi,” katanya.

Menurutnya lagi sebanyak 14 negara daripada ASEAN, ASIA dan negara Komanwel serta pusat kajian antarabangsa turut dijemput sebagai pemerhati bebas bagi melihat proses PRU-14.

“SPR juga melantik 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan selain wakil universiti awam bagi menjalankan pemerhatian terhadap proses PRU-14 ini.

“Justeru itu, SPR tidak mengiktiraf mana-mana organisasi atau individu yang tidak dilantik bagi tujuan itu,” katanya.

Sementara itu, semakan SuaraTV mendapati penentuan hari pengundian pada hari bekerja mendapati ia bukan pertama kali dilaksanakan.

Pada PRU-9 tahun 1995, SPR menetapkan tarikh 25 April 1995 yang jatuh pada hari Selasa sebagai hari pengundian dan bagi PRU-10 tahun 1999, hari pengundian berlangsung pada hari Isnin, 29 November 1999. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!