Video: Kementerian Gantung Khidmat Rayani Air

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Sri Liow Tiong Lai meluahkan rasa kecewa beliau terhadap syarikat penerbangan tambang murah patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air.

 

Menurut beliau, kementerian telah memberi banyak peluang kepada syarikat terbabit namun mereka masih tidak dapat mencapai standard yang ditetapkan dan gagal memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

 

 

“Saya sangat kecewa dengan Rayani Air kerana tidak memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat .

 

“Kita dah beri mereka peluang, tapi mereka tidak memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh undang-undang,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan hari JPJ disini, sebentar tadi.

 

Ekoran daripada itu, kementerian akan menghantar notis penggantungan kepada syarikat penerbangan terbabit kerana menurut beliau pihak syarikat tiada kuasa untuk mengantungkan syarikat mereka sendiri.

 

“Pihak Rayani Air tidak boleh mengantungkan syarikat mereka sendiri, jadi, kementerian akan mengantung mereka dan notis penggantungan akan diberikan kerana mereka telah melanggar undang-undang di bawah Kementerian Pengangkutan.

 

“Esok kita akan keluarkan surat pengantungan dan selepas itu kita akan buat audit pada Rayani Air,” ujarnya.

 

Tambah beliau lagi, syarikat berkenaan akan diminta untuk memberikan penjelasan dan jawapan terhadap isu tersebut, namun sekiranya gagal membuat perkara demikian, lesen mereka mungkin akan ditarik.

 

“Setakat ini, kita akan laksanakan penggantungan dahulu dan mendengar pandangan Rayani Air kalau kita tak berpuas hati terhadap penjelasan dan jawapan mereka, maka kita akan batalkan lesen mereka,” katanya.

 

Terdahulu, syarikat penerbangan tersebut menerima 2 notis amaran daripada  Jabatan Penerbangan Awam Malaysia setelah gagal memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.