Pusat Beli Belah Di Singapura Pinggir Peniaga Melayu

SINGAPURA — Seorang ahli perniagaan wanita Melayu di sini membuat laporan polis selepas mendakwa “ditindas” pusat beli belah Tampines 1 yang enggan memberikannya ruang perniagaan di kawasan itu.

 

Diana Hairul pada Khamis menyiarkan email yang diterimanya dari pusat beli belah itu di Facebook, yang telah dikongsi lebih 3,000 pengguna dan mendapat reaksi daripada lebih 2,000 pengguna.

 

“Hi Dee, kami tidak begitu berminat menjalankan siri jelajah Melayu kerana khalayak sasaran kami kebanyakannya Cina.”

 

Email tersebut merupakan balasan kepada permintaannya yang mahu menyewa atrium pusat beli belah itu untuk jualan pra-Hari Raya bulan depan.

 

Diana merupakan usahawan busana Muslimah, termasuk tudung berjenama Naelofar Hijab dari Malaysia.

 

Ibu kepada empat orang anak itu sebelum ini biasa menyewa ruang pusat beli belah seperti di Sembawang Shopping Centre dan Bedok Mall untuk menjual pakaian namun terperanjat reaksi yang diterimanya kali ini.

 

“Malah jika mereka tidak membenarkan sekali pun, katakan dengan baik.

 

“Jawapan yang tidak sensitif dan tidak profesional itu sememangnya sesuatu yang tidak saya jangkakan,” katanya kepada akhbar Singapura, The Straits Times.

 

Pemilik pusat beli belah itu, AsiaMalls berkata mereka sedar laporan polis yang sudah dibuat dan akan memberi kerjasama dalam hal itu.

 

Katanya, pihak syarikat sudah pun mengambil tindakan sewajarnya ke atas penulis email tersebut yang dikenali sebagai “Jen”.

 

“Pihak kakitangan dan pengurusan memohon maaf kepada Diana Hairul dan masyarakat Melayu berhubung jawapan email berkenaan.

 

“Dalam apa cara pun, kami tidak mendiskriminasi mana-mana kaum dan pihak pengurusan tidak bertolak ansur dalam isu itu,” pihak pengurusan itu dilaporkan berkata.

 

Pihak AsiaMalls masih belum berpeluang untuk berbincang dengan Diana mengenai perkara itu selepas cubaan menghubunginya gagal. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.