Prestasi Buruk, Pengurus Pasukan Bola Sepak Perak Letak Jawatan

IPOH – Pengurus pasukan bola sepak Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya mengumumkan peletakan jawatan ekoran prestasi buruk pasukan dalam saingan Liga Super, hari ini.

 

Shahrul Zaman yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak ( Pafa) berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

 

“Saya telah mengemukakan permohonan untuk meletak jawatan sebagai pengurus pasukan.

 

“Peletakan jawatan ini disebabkan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi buruk pasukan Perak dalam saingan Liga Super,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Perak tewas 4-3 di tangan Skuad Tok Gajah di Stadium Perak, di Ipoh, malam tadi sekaligus menyaksikan The Bos Gaurus terus berada di zon penyingkiran bersama-sama pasukan Pahang.

 

Bagaimanapun Shahrul Zaman menjelaskan, beliau masih memegang jawatan Timbalan Presiden Pafa.

 

Terdahulu Shahrul Zaman ketika membalas tweet seorang penyokong Perak turut menjelaskan peletakan jawatannya itu.

 

“Saya dah maklum kepada ds (Datuk Seri) presiden mohon perletakan jawatan saya sebagai pengurus pasukan liga super. Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya,” katanya menjawab beberapa persoalan dan desakan penyokong di twitter sejurus selepas perlawanan.

 

Shahrul Zaman bagaimanapun tidak menyalahkan pasukan khususnya jurulatih kerana menganggap mereka sudah melakukan yang terbaik untuk pasukan.

 

Mengenai desakan agar jurulatih ditukar, beliau menjelaskan pelantikan dan pertukaran bagi jawatan itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pasukan.

 

“Saya masih timbalan presiden Pafa dan akan bantu presiden serta pasukan sehabis baik. Cuma tak layak jadi pengurus… Pengurus pasukan bertanggungjawab spesifik tentang pasukan. Timbalan presiden bertanggungjawab bantu presiden jaga Pafa,” katanya lagi. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.