Jurulatih, Penjaga Gol Pulau Pinang Cedera Dibaling Batu

ALOR SETAR — Jurulatih penjaga gol Pulau Pinang, Maquinshop Domingues Prep cedera selepas bas yang membawa skuad negeri itu dibaling batu tidak lama selepas meninggalkan Stadium Darul Aman di sini malam tadi.

 

Menurut timbalan ketua polis daerah Kota Setar Supt Rohana Omar, jurulatih itu cedera di lengan akibat terkena serpihan kaca selepas bas berkenaan dilempar dengan sembilan biji batu.

 

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 malam di Lebuhraya Darul Aman apabila empat batu yang dilempar terkena cermin bahagian hadapan bas manakala lima lagi terkena badan bas,” katanya ketika dihubungi.

 

Insiden berlaku sejurus bas skuad negeri itu meninggalkan stadium selepas perlawanan Liga Super menentang tuan rumah, Kedah yang berkesudahan seri 2-2.

 

Ia dikatakan berlaku ketika bas menghampiri Taman Tunku Habsah, kira-kira satu kilometer dari stadium itu.

 

Katanya, laporan polis berkenaan insiden tersebut telah dibuat dan pihaknya kini sedang mengenal pasti kumpulan individu yang melakukan perbuatan itu. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.