Saya Anak Jins Shamsudin – Hang Tuah

Kuala Lumpur – Anak kedua Tan Sri Jins Shamsudin, Hang Tuah @ Shazrin Mohd. Zain hari ini tampil memberikan kenyataan untuk memperbetulkan dakwaan ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah bahawa bapanya itu hanya memiliki tiga orang anak sahaja.

 

Tegas Hang Tuah, dia tidak mahu spekulasi itu berterusan kerana sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai salah seorang anak kepada pengarah filem Bukit Kepong itu untuk meleraikan segala persoalan berbangkit sejak berita itu tersebar.

 

“Apa yang boleh saya katakan di sini saya agak terkejut apabila dia (ibu tiri) mengeluarkan kenyataan seperti itu. Mungkin juga dia tidak tahu cerita yang sebenar dan mendapat maklumat daripada sumber yang salah.

 

“Lantaran itu, seandainya itu yang benar-benar berlaku, saya memaafkan dia. Saya pun enggan lagi memanjangkan cerita kerana saya hanya mahu memperbetulkan fakta sahaja.

 

“Namun, saya tidak mahu berkongsi dengan lebih lanjut tentang masalah keluarga yang berlaku di antara kami. Cukuplah untuk saya mengatakan bahawa saya ini adalah anak Jins Shamsudin,” jelas Hang Tuah kepada media dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur, di sini.

 

Kehadirannya tidak keseorangan sebaliknya ditemani oleh dua orang peguam sebagai penasihat iaitu Saiful Adli Mohd. Arshad dan Abdul Malik Mokhtar.

 

Dalam majlis itu juga, pihak media diberi salinan surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara yang mengesahkan status Hang Tuah dan Jins sebagai anak beranak selain salinan surat beranaknya.

 

Spekulasi status Hang Tuah sebagai anak kedua Jins mula diperkatakan ramai apabila Halijah membuat kenyataan menerusi satu artikel, “Jins Shamsudin hanya ada tiga anak” seperti mana yang pernah disiarkan di Utusan Malaysia pada 6 Februari lalu.

 

Dalam laporan itu, Halijah menafikan dakwaan kononnya suaminya itu mempunyai empat orang anak hasil daripada dua perkahwinannya.

 

Sebaliknya, isteri pelakon veteran itu menegaskan bahawa suaminya hanya memiliki tiga orang anak lelaki sahaja iaitu seorang daripada perkahwinannya bersama Allahyarham Rahmah Rahmat dan dua lagi daripada perkahwinan beliau dengan Jins.

 

Mengulas lanjut tentang kebenaran di sebalik dakwaan tersebut, kata Hang Tuah, bapanya pernah mendirikan rumah tangga bersama ibunya, Jamilah Sukor yang berasal dari Johor pada tahun 1973 di luar negara tetapi perkahwinan itu tidak kekal lama.

 

Malah jelasnya, berita tentang perkahwinan ibu bapanya juga pernah dicatatkan dalam buku biografi bapanya yang berjudul Suria Kencana hasil tulisan Mohd. Zamberi A. Malek yang pernah diterbitkan pada tahun 1998.

 

“Disebabkan itu, saya mahu menjernihkan keadaan dan menceritakan hal yang sebenar kepada umum. Saya tidak berdepan dengan apa-apa tekanan tetapi saya kasihankan ibu saya kerana dia agak terkejut dan mohon untuk diberikan ruang privasi ketika ini,” kata bekas juruterbang Air Asia X itu lagi.

 

Tambahnya lagi, dia tidak mahu tindakannya mengadakan sidang akhbar hari ini akan mencetuskan spekulasi bahawa dia ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak walhal dia tidak mempunyai niat sebegitu.

 

“Malah, bukan juga tujuan saya untuk menuntut sebarang harta,” ujarnya lagi.

 

Ketika ditanya tentang hubungannya dengan Halijah dan bapanya, Hang Tuah yang berusia 41 tahun itu memberitahu kali terakhir dia bertemu dengan mereka adalah pada tahun 2011 sewaktu sambutan Hari Raya dan semuanya berjalan seperti biasa.

 

Akan tetapi, jelasnya lagi, hakikat sebenarnya hubungannya dengan Jins tidak begitu rapat kerana sejak kecil dia dibela oleh ibu saudaranya yang juga kakak kepada Jins iaitu Hazizom Shamsudin.

 

Bahkan, dia juga memberitahu hubungannya dengan ibu kandungnya juga hanya kembali rapat sejak 10 tahun yang lalu.

 

Ketika sesi soal jawab dengan pihak media berlangsung, suasana tiba-tiba menjadi sedikit tegang dan panas apabila adiknya yang merupakan anak bongsu kepada Halijah dan Jins iaitu Putera Hang Nadim yang turut hadir secara spontan melontarkan soalannya.

 

“Mengapa perlu adakan sidang akhbar ini sedangkan awak boleh sahaja datang ke rumah dan selesaikan masalah ini. Kenapa sudah lama tidak datang ke rumah?” soalnya kepada Hang Tuah.

 

Putera Hang Nadim yang ditemui selepas sidang akhbar itu menjelaskan kehadirannya bukan hendak memanaskan keadaan sebaliknya dia hanya mahu mendengar apa yang hendak dikatakan oleh abangnya itu.

 

“Saya kasihankan bapa saya. Kalau sekalipun ibu saya mengeluarkan kenyataan seperti itu, pasti ada sebabnya. Disebabkan itulah saya bertanyakan kepada dia (Hang Tuah) kenapa sudah lama tidak datang ke rumah sedangkan pintu rumah kami sentiasa terbuka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.