PRK Parlimen Rompin 5 Mei

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin diadakan pada 5 Mei depan , manakala hari penamaan calon pada 22 April ini.

 

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di ibu pejabat SPR di sini, sebentar tadi. Abdul Aziz berkata, tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 30 April ini. “Sebanyak 42 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian,” katanya.

 

Abdul Aziz berkata, jumlah pengundi bagi Parlimen Rompin adalah 53,294 orang.

 

SPR akan menggunakan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.

 

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, baru-baru ini.

 

Nahas itu turut mengorbankan lima yang lain, termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razkan Seran.

 

Abdul Aziz berkata, SPR pada mulanya bercadang untuk mengadakan PRK itu serentak dengan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, namun diputuskan supaya diadakan dua hari lebih awal kerana 7 Mei adalah Hari Hol bagi negeri Pahang.

 

“Hari Hol adalah cuti umum bagi negeri Pahang dan banyak program penting diadakan membabitkan kerabat diraja, pihak istana serta ketua jabatan, justeru 7 Mei adalah tidak sesuai (diadakan PRK Rompin).

 

“Selain itu, tiada halangan untuk mengadakan PRK itu lebih awal dari PRK Permatang Pauh asalkan ia mematuhi syarat,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.