Najib Anjur Majlis Tahlil Di Seri Perdana

Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganjurkan majlis tahlil dan bacaan Yasin untuk Anggota Parlimen Rompin Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Ketua Setiausaha Sulitnya Allahyarham Datuk Azlin Alias dan Setiausaha Sulitnya Allahyarham Datuk Mohd Po’ad Jelani di kediaman rasminya, Seri Perdana, di sini, malam ini.

 

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Najib melahirkan rasa sedih dan simpati beliau kepada keluarga Allahyarham Jamaluddin, Allahyarham Azlin dan Allahyarham Mohd Po’ad di atas pemergian mereka baru-baru ini, serta berharap semua jasa dan sumbangan mereka mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.

 

Menurutnya pemergian mereka juga merupakan kehilangan besar dan menyayat hati seluruh warga Jabatan Perdana Menteri.

 

“Mereka tentu mahukan kita mempunyai semangat yang jitu, membulatkan azam dan tekad kita. Jangan putus asa tetapi sebaliknya melihat ke hadapan bagaimana perjuangan yang telah dibawa oleh mereka tidak terhenti setengah jalan.

 

“Tentu sekali mereka akan rasa kecewa jika kita patah semangat, semoga dengan ini kita akan lakukan yang terbaik untuk kemenangan mereka,” katanya pada majlis tahlil itu yang dihadiri kira-kira 200 tetamu.

 

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

 

Pada majlis itu, Najib juga menyampaikan pencen terbitan dan ganjaran gratuiti kepada balu dan ibu Allahyarham Jamaluddin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail dan Aminah Abdullah.

 

Turut menerima pencen terbitan dan ganjaran gratuiti ialah balu Azlin, Datin Azlina Mahmad serta balu Mohd Po’ad, Datin Hamizah Khalid.

 

Allahyarham Mohd Po’ad meninggal dunia akibat barah Lymphoma di Hospital Raffles, Singapura pada 31 Mac lepas.

 

Allahyarham Jamaluddin dan Allahyarham Azlin serta empat orang lagi terkorban apabila helikopter Dauphin AS365N2 yang dinaiki mereka terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada Sabtu lepas.

 

Mengimbas kembali kenangan bersama ketiga-tiga individu itu, Najib berkata ia amat sukar untuk dihuraikan beliau.

 

Najib berkata perkenalannya dengan Allahyarham Jamaluddin bermula di Edinburgh, United Kingdom pada 1973 sehinggalah mereka sama-sama terlibat dalam politik.

 

“Amat sukar untuk saya lupakan hubungan yang begitu intim dengan JJ (Jamaluddin),” katanya.

 

Menurutnya Allahyarham Azlin pula menunjukkan kewibawaan, kesetiaan dan integriti yang tidak boleh dipersoalkan.

 

“Allahyarham (Azlin) adalah pegawai pertama yang saya jumpa setiap hari dan yang terakhir saya jumpa bila hendak pulang,” katanya.

 

Beliau berkata Allahyarham Mohd Po’ad pula mengendalikan segala urusan peribadi beliau dengan baik.

 

“Setiap kali jumpa saya, beliau akan membawa bil-bil yang perlu saya tunaikan, beliau telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan saya banyak dibantu dalam urusan-urusan selama ini,” kata Najib. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.