Harga Gas Memasak 14KG Kekal RM26.60

KUANTAN – Harga gas memasak tidak berkandung dalam senarai barangan yang perlu dikenakan cukai walaupun pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah berkuat kuasa awal April lalu.

 

Ketua Unit Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Hashim Mohamad berkata, harga gas masih kekal pada harga kawalan iaitu RM26.60 bagi tong 14 kilogram.

 

“Jika ada peniaga yang mengenakan harga mahal pengguna perlu segera bertindak dengan melaporkan kepada unit aduan KPDNKK.

 

“Aduan penting bagi membolehkan pihak kami menjalankan pemantauan, pemeriksaan dan mengenal pasti peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

 

Sebelum ini, ada pengguna mendakwa gas dijual pada RM31 bagi tong 14 kilogram mengikut kepada lokasi penghantaran.

 

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak mengenakan caj perkhidmatan terlalu mahal kepada pengguna.

 

“Saya minta peniaga tidak kenakan caj lebih ketika memberikan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan, sebaliknya mengenakan kadar harga berpatutan,” katanya.

 

Hashim memberitahu setakat ini bekalan gas di daerah ini mencukupi dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan gas memasak.

 

Jelasnya, sekiranya terdapat pengguna sukar untuk memperoleh bekalan gas memasak mereka boleh memaklumkan kepada pihak KPDNKK.

 

“KPDNKK ada membuat penambahan kuota sebanyak 300 tong gas dan Insya-Allah mampu membantu pengguna yang mempunyai masalah berkenaan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.