Dua Beranak Disemadi Dalam Satu Liang Lahad

BANTING – Dua beranak yang maut dalam kejadian terkena renjatan elektrik di rumah mereka di Jalan Sungai Buaya, Kampung Chodoi, petang kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad, pagi semalam.

 

Sebelum itu, jenazah Mohd Amir Jiran, 45, dan bayinya yang berusia tiga bulan, Mohd Fayyadh Iman disembahyangkan di rumah mereka jam 8.30 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan kampung berkenaan untuk dikebumikan jam 9.30 pagi.

 

Dalam kejadian itu, Allahyarham Mohd Amir dan Mohd Fayyadh maut dipercayai terkena renjatan elektrik daripada kipas industri di rumah baru mereka yang belum lagi diduduki.

 

Ketika kejadian isteri arwah, Azira Hasin, 37, berada di dapur rumah lama mereka yang terletak bersebelahan sebelum terdengar bunyi kuat seperti ada barang terjatuh.

 

Azira yang bergegas ke rumah baru mereka mendapati suaminya dalam keadaan terlentang sambil memeluk bayi mereka dan kedua-duanya dalam keadaan kebiruan serta tidak sedarkan diri.

 

Arwah Mohd Amir disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Fayyadh di Klinik Kesihatan Kampung Bandar.

 

Sementara itu, Azira ketika ditemui selepas majlis pengebumian itu berkata, dia tidak memikirkan apa yang akan dilakukan selepas ini kerana selama ini mereka sekeluarga bergantung hidup dengan arwah suaminya.

 

“Saya tak tahu hendak buat apa selepas ini, tetapi saya perlu menyara tiga anak selepas pemergian suami,” katanya.

 

Menurutnya, dia kini menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan ibu serentak dalam membesarkan tiga anak berusia enam hingga 13 tahun.

 

Sementara itu, adik Azira, Siti Khadijah Hasin, 29 berkata, mereka sekeluarga akan membantu dan tidak mengabaikan kakaknya itu serta anak saudaranya.

 

“Kami lapan beradik berjanji menyokong serta berada di belakangnya kerana apa yang dilaluinya terlalu berat untuk ditanggungnya.

 

“Hubungan kekeluargaan serta darah daging tidak putus begitu saja dan kami memahami keadaannya yang baru saja kehilangan tempat bergantung,” katanya.

 

Abang Allahyarham, Mohd Sharif, 54, berkata, ketika ini perkara paling utama adalah memastikan keadaan emosi Azira stabil terlebih dulu.

 

“Kami perlu berbincang serta mencari jalan penyelesaian terbaik.

 

“Kami berharap pihak berwajib sudi tampil bersama kami mencari penyelesaian supaya Azira boleh berdikari dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.