Azalina Akan Ke Eropah Urus Tuntutan Sulu – Zambry

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menghantar wakil ke Perancis dan beberapa negara lain di Eropah bagi mengendalikan kes tuntutan kumpulan Sulu ke atas aset Malaysia dalam masa terdekat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kerajaan membuat keputusan untuk mewakilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ke sana yang akan disertainya.

“Bagi pihak kerajaan sudah membuat keputusan untuk mewakilkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu untuk bertindak dan pergi ke Eropah bagi mengendalikan kes ini termasuk ke Perancis dan sebagainya.

“Barangkali saya turut serta dalam masa terdekat ini,” katanya pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sebelum ini, Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan kumpulan Sulu.

Ia susulan tindakan kumpulan Sulu yang masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Pada masa sama, Zambry berkata, Kementerian Luar sebelum ini sudah mengutus nota diplomatik kepada semua 168 negara Konvensyen New York 1958 pada Jun dan Julai lalu bagi mengutarakan bantahan Malaysia terhadap isu tuntutan terbabit.

Katanya, selain itu nota diplomatik tambahan turut diutuskan kepada negara yang terbabit dalam proses perundangan tuntutan kumpulan terbabit antaranya Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

“Ia adalah bagi menegaskan pendirian negara selain menerangkan perkara sebenar bagi mematahkan hujahan pihak penuntut,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak dapat membawa kes tuntutan ini untuk diadili di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana ia memerlukan persetujuan kedua-dua belah pihak.

Katanya, sehingga kini kumpulan Sulu ini dikesan menggunakan kepakaran mereka dengan melaksanakan tuntutan melalui ‘forum shopping’ iaitu pergi ke satu mahkamah ke mahkamah yang lain bagi mendapatkan kemenangan.

“Ia termasuk dalam kes terbaharu, mereka mendapat bailif (pegawai mahkamah)… bayangkan tanpa diperiksa kesahihannya, mereka boleh pergi hingga memeriksa harta benda Kedutaan Malaysia (di Perancis) termasuk bangunan dan rumah kita.

“Kita menghantar nota bantahan termasuk kepada Kedutaan Perancis di sini untuk menyatakan bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian kerana semua kawasan kedutaan tertakluk kepada Konvensyen Vienna.

“Mereka (penuntut Kumpulan Sulu) kemudiannya diberitahu mengenai kesilapan itu dan keluar daripada situ,” katanya.

Beliau berkata, pasukan diketuai Azalina juga melakukan penyelidikan terhadap kesahihan perjanjian Sulu 1878 termasuk pergi ke arkib di Filipina, kota London dan kawasan yang berkaitan bagi tujuan ‘menggali’ semula segala maklumat.

“Apa yang penting ialah penuntut itu benar-benar waris atau tidak ini yang kita perbahaskan dan buat proses perundangan untuk cabar kesahihannya.

“Antara usaha dilakukan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Azalina) menemui keluarga yang turut mengaku mereka dari kesultanan Sulu terbabit,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat