Warga Kota Perlu Bayar Caj 20 Sen Setiap Beg Plastik Bermula Jumaat Ini – Menteri

KUALA LUMPUR — Caj pencemaran 20 sen akan dikenakan terhadap penggunaan setiap beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan, mulai 15 Mac ini, kata Khalid Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata pendekatan itu sebagai memberi kesedaran dan merubah minda rakyat mengenai keperluan perbelanjaan kerajaan untuk membersihkan pencemaran sisa plastik.

“Selain itu, pendekatan tersebut diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau serta menjamin kelestarian alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wakil rakyat Shah Alam itu berkata berdasarkan maklum balas peniaga dan penjaja bahawa usaha mengurangkan beg plastik tidak berjaya jika ia diberikan secara percuma pada pengguna.

“Namun sejak penggunaan produk biodegradasi di Wilayah Persekutuan diperkenalkan, pihak peniaga dan penjaja telah memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau ini,” katanya.

Justeru beliau berkata kementeriannya berharap agar semua warga Wilayah Persekutuan bersama-sama berganding bahu menjayakan inisiatif Pembangunan Teknologi Hijau.

Pada masa sama, Khalid menegaskan penguatkuasaan kepada peniaga dan penjaja yang menggunakan beg plastik konvensional juga diteruskan oleh pihaknya.

Menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim dilapor mengumumkan semua kerajaan negeri diberi tempoh tiga tahun mulai 2019 menguatkuasakan caj pencemaran.

Yeo Bee Yin berkata kerajaan negeri turut diberi kuasa untuk menentukan sendiri nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan dan tarikh pelaksanaannya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.