Cadangan Kerajaan Campuran, Perkembangan Positif Kerjasama UMNO, PAS – Khalil

KUANTAN – Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) dan PAS sebagai satu perkembangan positif.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pihaknya melihat ada banyak jalan dan kaedah dalam politik, termasuk PAS bersama kerajaan dipimpin BN menerusi pelantikan wakil parti itu sebagai EXCO.

“Ia juga boleh berlaku apabila kita menyokong kerajaan seperti Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar. Walaupun kita sudah putus hubungan dengan PR, namun kita menyokongnya sebagai Menteri Besar ketika itu.

“Apapun saya menganggap ia (cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri ditadbir BN dan PAS) sebagai positif,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-24 Dewan Pemuda PAS Paya Besar, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.

Media sebelum ini melaporkan UMNO bercadang mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir BN dan PAS ketika ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dipetik sebagai berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada PAS, baru-baru ini, dan masih pada peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Mohamad berkata, pada peringkat UMNO, jawatankuasa kerja sudah dibentuk dengan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa dibentuk PAS kelak.

“Saya sudah berbincang dengan PAS dan akan memulakan kerjasama kedua-dua parti ini dengan mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah bermula di Terengganu, diikuti Pahang, Kelantan serta Perlis,” kata Mohamad.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil yang juga ADUN Batu Buruk berkata, cadangan mewujudkan kerajaan campuran itu turut memberikan gambaran bahawa kerjasama PAS dengan UMNO boleh melangkah lebih jauh.

“Bukan seperti dinyatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyebut kerjasama itu hanya akan bertahan sekerat jalan.

“Ia menunjukkan mereka takut kerjasama UMNO dengan PAS kerana menggugat PH. Saya pernah menyatakan bahawa tiada lagi pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) selepas ini hingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya hanya dua penjuru,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.