Dua Maut, Seorang Parah Dalam Kemalangan Di Jempol

SEREMBAN – Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah bas di Jempol, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi di Jalan Serting Hulu, pemandu dan penumpang kereta terbabit, masing-masing berusia lingkungan 30an, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Sri Jempol Mohd Fahmi Abdullah berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada bas pengangkutan awam tanpa penumpang yang terbabas sebelum merempuh kereta jenis Ford Telstar yang dinaiki tiga lelaki itu, lapor Bernama

“Bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

“Kereta berkenaan dipercayai menghala Simpang Pertang, Jelebu dari Serting manakala bas itu dari Simpang Pertang ke Batu Kikir, Kuala Pilah. Bagaimanapun, pemandu bas berkenaan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sejumlah 19 anggota dari balai itu dan balai Simpang Pertang dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat. Seorang lagi mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.