PBB Digesa Persiap Kes Terhadap Korea Utara

Seorang penyiasat veteran menggesa PBB melantik pakar undang-undang antarabangsa untuk mempersiapkan prosiding kehakiman terhadap kepimpinan Korea Utara atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan.

Beliau membuat gesaan itu ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, yang merupakan abang dan pengkritik pemerintahan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Malaysia bulan lepas.

Sebuah suruhanjaya siasatan PBB, dalam satu laporan pada 2014 yang dikeluarkan selepas ia mengadakan temubual dan pendengaran awam dengan mereka yang berpaling tadah, telah menyenaraikan pelanggaran besar di Korea Utara – termasuk kem-kem penjara besar, kebuluran dan hukuman mati – yang menurutnya patut dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC ).

Marzuki Darusman, bekas peguam negara Indonesia yang menganggotai suruhanjaya siasatan PBB itu ke atas Korea Utara, berkata Majlis Hak Asasi Manusia PBB perlu menangani akauntabiliti Korea Utara dalam sesinya sekarang.

“Terdapat keperluan untuk Majlis Hak Asasi Manusia itu melantik pakar khas bebas untuk menyelia proses pendakwaan kehakiman yang akhirnya akan membawa kepada satu mekanisme akauntabiliti,” kata Marzuki kepada sebuah panel yang diadakan di luar forum Geneva.

Laporan tahun 2014 itu yang ditolak oleh Pyongyang, menyatakan bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mungkin secara peribadi bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan.

Bukti-bukti yang direkodkan sepanjang dekad yang lalu oleh penyiasat PBB perlu diberikan kepada mekanisme baru PBB itu untuk pendakwaan, katanya.

Para pakar berharap sebuah tribunal ad hoc ke atas Korea Utara boleh ditubuhkan suatu hari nanti, kerana China dijangka akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang langkah dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengheret sekutunya itu ke ICC.

“Pembunuhan” Kim Jong Nam patut menjadi satu “pembuka mata”, kata Lee Jung-Hoon, duta Korea Selatan tentang hak asasi manusia Korea Utara, di sesi tersebut.

Beliau berpandangan bahawa pembunuhan itu membuat khalayak umum dapat melihat sendiri buat pertama kalinya “apakah jenis rejim yang kita benar-benar hadapi”.

“Jika Korea Utara boleh melakukan ini kepada abang Kim, kepada bapa saudara Kim (Jang Song Thaek yang dibunuh pada 2013), dan semua penyingkiran elit kiri dan kanan, dapatkah anda bayangkan apa bentuk kehidupannya jika anda seseorang banduan dalam kem penjara Korea Utara, dengan jumlahnya lebih daripada 100,000 orang?” katanya.

Hakim Australia Michael Kirby, yang mempengerusikan siasatan itu pada 2014, berkata kenyataan para saksi akan digunakan apabila sebuah tribunal dan pendakwa dilantik.

“Akauntabiliti adalah nama permainan dalam hak asasi manusia, jika tidak, itu semua hanya retorik.” – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.