SPRM Sahkan Keluarga Diraja Saudi Derma RM2.6 Bilion

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa keluarga Diraja Arab Saudi memberi sumbangan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

 

Jawapan itu berikutan penjelasan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa salah seorang putera raja Arab Saudi memberikan wang itu kepada Najib.

 

“Berhubung siasatan kes RM2.6 bilion, keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan SPRM mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB Perdana Menteri secara peribadi daripada keluarga Diraja Arab Saudi,” katanya.

 

Selain itu, Azalina juga memberitahu hasil siasatan SPRM juga mendapati tiada kesalahan dilakukan perdana menteri berhubung pemindahan wang RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadinya.

 

“Berkaitan kes SRC International pula, pihak SPRM telah menyatakan bahawa hasil siasatan mereka tidak menunjukkan bahawa YAB perdana menteri telah melakukan sebarang perbuatan rasuah (corrupt practice).

 

“Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, peguam negara berpuashati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan YAB perdana menteri berkaitan kes-kes tersebut,” jelasnya.

 

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai siasatan sumbangan RM2.6 bilion dan dana SRC International berjumlah RM42 juta yang telah didepositkan ke akaun Najib. – Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.