Impian Pegawai Bomba Bertemu Bayi Mangsa Tragedi Highland Tower Termakbul

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua dekad peristiwa hitam negara iaitu tragedi Highland Tower yang mengakibatkan 48 penghuni terbunuh selepas satu daripada tiga blok kondominium berkenaan runtuh, impian seorang pegawai bomba untuk bertemu dengan bayi yang diselamatkannya dalam tragedi tragis itu bakal termakbul.

 

Norizan Saad, 46, yang ketika itu baharu sahaja tiga tahun bertugas sebagai anggota bomba adalah antara ‘hero’ yang mencuri perhatian ramai dalam usaha menyelamatkan seorang bayi, Nur Hamidah Najib yang ditemui terperangkap dalam runtuhan kondominium tersebut, 23 tahun lalu.

 

Memetik laporan Harian Metro sebelum ini, Norizan yang kini merupakan Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melahirkan hasrat agar dapat bertemu dengan bayi berusia 18 bulan itu.

 

Berikutan itu terbaharu, pihak Bomba menerusi laman Facebooknya mengesahkan bahawa pihaknya telah berjaya menjejaki dan menghubungi Nur Hamidah yang kini menetap di Indonesia.

 

hamidahfb-highland tower

Foto ihsan: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (Fire & Rescue Department of Malaysia)

 

Maklumat berhubung Nur Hamidah berjaya diperolehi selepas pengguna media sosial sebelum ini memuat naik keratan laman Facebook gadis berusia 23 tahun itu yang dipercayai adalah bayi yang terlibat dalam insiden Highland Tower.

 

“Alhamdulillah….. Nur Hamidah seperti didalam gambar yg Tn Norizan Saad selamatkan semasa runtuhan Highland Tower tu sekarang ni tinggal di Indonesia, beliau bekerja sebagai Jururawat/Bidan di Puskesmas, sekarang telah berumur 23tahun (sama usia dgn masa tragedi).

 

“Salah seorang dari Pegawai Kanan Bomba (Tn Taufiq) telah berjaya menghubungi Ayah Nur Hamidah. Semoga dapat diketemukan nanti Penyelamat dan Insan yang diselamatkan.

 

“Berkongsi bersama info (screen capture) dari Fb Nur Hamidah,” tulis kenyataan di laman Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, kelmarin.

 

Dalam kejadian pada 11 Disember 1993 itu, Norizan ditugaskan untuk membawa turun Nur Hamidah selepas beliau dan anggota bomba lain berjaya mengeluarkannya yang dikesan terperangkap dalam runtuhan tersebut.

 

Dalam insiden menyayat hati itu hanya seorang pembantu rumah Indonesia dan bayi berusia 18 bulan selamat.

 

Berdasarkan rekod, antara yang terbunuh ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, Carlos Rashid. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.