SAMB, SAINS Meterai Perjanjian Tambahan Bekalan Air Terawat

PUTRAJAYA – Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) memeterai Perjanjian Tambahan Bekalan Air Terawat dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini sebentar tadi.

 

Menurunkan tandatangan bagi pihak SAMB ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Khalid Nasir manakala SAINS diwakili Pengarahnya, Wan rasdi Wan Ismail.

 

Turut hadir menyaksikannya ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

 

Di bawah perjanjian itu, SAMB akan membekalkan kepada SAINS maksimum 5,000 kiub meter padu atau 1.1 juta gelen air sehari kepada 5,000 akaun (pengguna) di Tampin dan 100 akaun di Batang Melaka.

 

Tempoh bekalan air terawat itu ialah daripada 1 Mac 2015 hingga 1 Jun 2015 dengan kadar bayaran yang dipersetujui iaitu RM1.40 bagi setiap kiub meter padu air.

 

Bekalan berkenaan terhad kepada SAINS sahaja dan tertakluk kepada lebihan air yang ada selepas keperluan air di Melaka di penuhi. Air terawat akan dibekalkan melalui Loji Gadek di mana air mentah diperoleh dari Empangan Jus.

 

Bekalan air terawat ke daerah Tampin bergantung kepada paras minimum Kolam Bukit Tiga iaitu empat meter dan sekiranya paras itu susut kurang daripada empat meter, bekalan akan dihentikan.

 

Perjanjian pembekalan itu juga bergantung kepada arahan dan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana proses berkenaan membabitkan pembekalan air antara negeri.

 

SAMB dan SAINS juga bersetuju bahawa selain daripada terma dan syarat dalam Perjanjian Tambahan itu, terma dan syarat dalam Perjanjian Utama masih terus berkuatkuasa. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.