‘Rasa Ganjil Bila BN Tak Bertanding’ – Calon Bebas

KOTA BHARU – Rasa ‘ganjil’ setelah BN tidak meletakkan calon bagi PRK Dun Chempaka mendorong calon bebas, Aslah Mamat, 64, menghantar borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, di sini.

 

Aslah yang juga pesara Kementerian Kesihatan berasal dari Sungai Petai, Pasir Puteh seolah-olah ‘menceriakan’ perarakan penamaan calon bersama 10 penyokongnya, pagi tadi.

 

“Saya rasa ganjil dan hairan kerana biasanya setiap kali PRK, ada calon dari parti pemerintah dan parti pembangkang.

 

“PRK kali ini berbeza dan saya terpanggil untuk masuk bertanding, ia penting kerana saya juga ada ‘mesej tersirat’ yang dipendam sejak 30 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Pusat Penamaan Calon MRSM Pengkalan Chepa.

 

Mengambil keputusan untuk merahsiakan mesej itu buat masa ini, Aslah yakin bertanding menggunakan slogan ‘Mari Kita Pakat’ biarpun belum menentukan logo untuknya.

 

Bapa kepada lima anak ini menyatakan beliau langsung tidak takut hilang wang pertaruhan biarpun Dun Chempaka dikatakan lubuk panas Pas.

 

“Ini yang orang selalu salah anggap. Walaupun ini tempat Tok Guru (Nik Aziz), tetapi kita boleh bertanding,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.