Polis Siasat Semua Laporan Mengenai 1MDB

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat semua laporan yang dibuat berhubung isu penyelewe­ngan dan salah laku terhadap akaun 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan khas tersebut yang ditubuhkan beberapa hari lalu turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara bagi menyiasat sekiranya wujud unsur penyelewengan dan salah laku terhadap syarikat dana pelaburan strategik tersebut.

 

“Siasatan sudah pun bermula dan kita akan menyiasat semua laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak. Setiap laporan dibuat kita akan buka kertas siasatan dan jika benar ada kesalahan, siasatan diteruskan.

 

“Seperti mana yang dilaporkan oleh pengadu kepada kita, orang yang disyaki terlibat dengan penyelewengan IMDB ini kita akan siasat, ” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Graduasi Pertama Latihan Asas Kepolisan (PLAK), PDRM / Universiti Derby 2015 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

 

Menurut Khalid, sesiapa sahaja individu yang disyaki dan dinyatakan dalam laporan yang dibuat akan panggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 409 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Sementara itu, mengulas perkemba­ngan siasatan perhimpunan haram Sabtu lalu, Khalid berkata, pihaknya telah pun menahan dua individu setakat ini dan meminta sesiapa sahaja yang terlibat tampil menyerah diri untuk membantu siasatan.

 

“Semasa perhimpunan, pelbagai isu yang dibangkitkan, jadi kita perlu menyiasat semua isu yang dibangkitkan. Kepada mereka yang terlibat, eloklah serah diri untuk disiasat sebelum polis menahan mereka.

 

“Apa yang polis buat berdasarkan prosedur undang-undang, jadi kita minta tidak perlulah buat spekulasi tentang tindakan kita termasuklah isu reman kerana jika majistret luluskan reman, bermakna beliau menerima alasan-alasan kita dalam siasatan.

 

“Tidak semua reman kita dapat,” katanya.

 

Sementara itu, PDRM sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kes ugutan mahu meletupkan kereta dan membunuh Khalid baru-baru ini.

 

Setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan individu yang bertanggungjawab memuat naik video ugutan bunuh bertarikh 23 Januari bertajuk “Peringatan kepada IGP’’ itu.

 

Video berdurasi 1.27 minit dimuat naik di YouTube, memaparkan tiga individu berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan sementara dua lagi memakai topeng muka dan memberikan amaran dalam bahasa Melayu sambil memegang sekeping kertas memaparkan wajah individu yang tidak dapat dikenal pasti.

 

Di akhir video, kelihatan seorang lagi lelaki bertopeng bangkit membawa kereta mainan di hadapan lelaki dengan muka bertutup dan membakar kereta tersebut de­ngan pemetik api disusuli bunyi letupan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.