Operasi Cari MH370 Guna Pendapat pakar Bukan Bomoh Kelapa – Hishammuddin

Kuala Lumpur – Lokasi semasa pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tidak akan diubah walaupun terdapat beberapa spekulasi mendakwa pesawat berkenaan mungkin berada di lokasi lain, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

 

Menteri pertahanan itu berkata, berdasarkan isyarat “ping”, pakar berkeyakinan MH370 berada di kawasan pencarian dan keputusannya hanya dapat diketahui selepas kerja mencari di kawasan 60,000 km persegi selesai.

 

“Bulan Mei operasi pencarian dijangka selesai. Bayangkan kalau jumpa pun pesawat itu, ia berada 7km di bawah dasar laut dan pasti mengambil masa.

 

“Operasi ini adalah berdasarkan pendapat pakar, bukannya pertimbangan daripada bomoh kelapa dan sebagainya,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

 

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata laporan interim kehilangan pesawat MH370 yang dikeluarkan Ahad lepas “tidak masuk akal” sambil mengaitkan insiden malang itu dengan wujudnya unsur “mainan teknologi”.

 

Bekas perdana menteri itu berkata, mustahil pesawat penumpang seberat 230 tan itu berupaya hilang tanpa dapat dikesan, merujuk pesawat Boeing itu yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lepas.

 

“Amat pelik pesawat berat 230 tan boleh hilang sampai tidak boleh jumpa.

 

“Saya masih tidak boleh terima segala laporan kerana saya tidak tahu, dalam zaman komunikasi terbaik hari ini, kita tidak tahu mana hilang pesawat itu,” katanya.

 

“Saya khuatir ada permainan teknologi dalam perkara ini.”

 

Pasukan bebas yang menyiasat insiden kehilangan pesawat MH370 mengeluarkan satu kenyataan interim pada Ahad, genap setahun selepas kehilangan misteri pesawat tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.