Kantoi ‘Mengail’ Duit Tabung Masjid

TUMPAT – Dua remaja yang leka ‘mengail’ wang di dalam tabung masjid, kantoi apabila niat mencuri di rumah ALLAH itu dapat dihidu anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS), malam kelmarin.

 

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, kelibat remaja berusia 17 dan 18 tahun itu memasuki Masjid Kubang Batang disedari anggota SRS yang membuat rondaan di kawasan tersebut.

 

Anggota SRS dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kubang Batang/Menjual, Nazri Ibrahim berkata, curiga dengan kehadiran dua remaja terbabit, dia membuat intipan di dalam masjid berkenaan.

 

“Saya nampak mereka berdua sedang mencuri duit di dalam tabung menggunakan lidi sebagai kail,” katanya.

 

Menurutnya, dia terus menghubungi anggota SRS lain untuk meminta bantuan dan mengepung masjid berkenaan.

 

Katanya, dengan bantuan empat anggota SRS, remaja terbabit ditangkap dan disoal siasat sebelum diserahkan kepada polis.

 

“Hasil pemeriksaan, kami menemui wang RM18, dipercayai wang dicuri di dalam tabung masjid,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.