Isu Air: Pusat Tak Pernah Langgar Janji – Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor disaran mengkaji semula keputusan menamatkan perjanjian air negeri itu. Ini kerana tindakan tersebut boleh memberi implikasi besar terhadap industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerajaan Persekutuan tidak melanggar apa-apa perjanjian yang ditetapkan dengan kerajaan negeri seperti yang didakwa Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

 

“Keputusan yang diambil bercanggah dengan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Heads of Agreement (HoA) yang dipersetujui kedua pihak 26 Februari dan 1 Ogos  tahun 2014.

 

“Kerajaan Negeri Selangor masih belum menyempurnakan perjanjian utama yang ditandatangani pada 12 September lalu, itu sebabnya kami minta penangguhan. Kerana masih ada isu yang belum diselesaikan kerajaan negeri sendiri,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di sini, hari ini.

 

Antara isu yang masih belum diselesaikan oleh Kerajaan Negeri termasuk urusan pindah milik aset air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk membolehkan PAAB menyediakan peruntukan berjumlah RM1.68 bilion bagi membantu Air Selangor membiayai kos pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.

 

“Isu lain yang timbul termasuk urusan pindah milik aset air syarikat-syarikat konsesi air (Consession Companies Water Assets-CCWA) kepada PAAB sebagai balasan kepada pengambilalihan liabiliti syarikat-syarikat konsesi oleh PAAB yang berjumlah RM7.65 bilion.

 

“Kerajaan Negeri juga masih belum memuktamadkan senarai aset miliknya untuk membolehkan Lesen Individu Kemudahan dikeluarkan kepada Air Selangor,” katanya.

 

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan semalam memberitahu perjanjian air membabitkan kerajaan negeri itu dan Kerajaan Persekutuan telah berakhir pada Isnin dan tidak akan dilanjutkan.

 

Azmin berkata, kerajaan Selangor sebelum ini turut memberikan tempoh lanjutan sebanyak dua kali bermula pada Januari lalu.

 

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas syarat perjanjian air yang ditandatangani pada September tahun lalu telah dilanggar oleh Kerajaan Persekutuan sehingga menyebabkan kerajaan Selangor tiada pilihan lain.

 

Menjawab soalan Mohamed Azmin, Dr Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, tempoh lanjutan yang diminta Kerajaan Persekutuan adalah disebabkan kelewatan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu yang disebut dan bukannya diminta atas sebab lain.

 

“Kemajuan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) sehingga 25 Februari 2015, kemajuan fizikal khususnya bagi pembinaan komponen loji rawatan air hanyalah pada 1.18 peratus berbanding jadual iaitu 3.43 peratus.

 

“Kelewatan ini hanya berlaku kerana Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji tersebut sehingga penstrukturan ditamatkan,” katanya lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.