Guru Kafa Tagih Janji Kerajaan Negeri Selangor

SABAK BERNAM – Pertubuhan Guru Kafa (PGK) Daerah Sabak Bernam meminta kerajaan negeri menunaikan janji dalam manifesto PRU13 lalu yang berhasrat menaikkan elaun guru Kafa sebanyak RM1,300 kepada RM1, 500 sebulan.

 

Pengerusinya, Suparman Sadikan berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) menang dan mengekalkan pentadbiran di negeri ini, pihaknya sehingga kini masih menanti kenaikan elaun guru Kafa sepertimana yang dijanjikan dua tahun lalu.

 

Bagaimanapun katanya, rata-rata guru Kafa meluahkan rasa dukacita kerana elaun yang dijanjikan masih belum ditunaikan hingga memaksa mereka menghantar memorandum kenaikan elaun guru Kafa kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 30 April lalu.

 

“Kami tunggu dari Februari tahun lalu dan serahkan memorandum dua bulan kemudian kepada (bekas) menteri besar.

 

“Lebih memeranjatkan, kami dimaklumkan tiada sebarang arahan lagi tentang kenaikan elaun tersebut, bahkan kami dipertikai dengan beberapa alasan tidak munasabah dan memerlukan kajian,” katanya.

 

Suparman berkata, susulan memorandum itu, bekas Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mempertimbang kenaikan terbabit.

 

“Dalam kenyataan Jais kepada Dr Halimah memaklumkan satu jawatankuasa khas bagi menilai dan membuat kajian tentang kenaikan elaun guru Kafa telah ditubuhkan bukan saja berkaitan elaun bahkan merangkumi aspek lain yang bersesuaian,” katanya.

 

Bagaimanapun katanya, timbul kemusyikilan tentang penubuhan jawatankuasa itu yang menjalankan kaji selidik tentang penilaian kepuasan bekerja dan profesionalisme keguruan dalam kalangan guru Kafa pada tahun lalu.

 

“Semua guru Kafa daerah ini telah hadir ke Paid (Pejabat Agama Islam Daerah) pada tahun lalu untuk isi borang soal selidik, tetapi kami terkilan seorang daripada wakil penyelidik yang buat kajian tentang kenaikan elaun guru Kafa memaklumkan ada dalam kalangan guru Kafa tidak pandai membaca al-Quran.

 

“Persoalannya, macam mana pihak berkenaan boleh lantik guru Kafa yang tak boleh baca al-Quran? Siapa yang bertanggungjawab lantik guru Kafa, sedangkan apabila ada kenaikan daripada RM1, 000 kepada RM1,300, semuanya tak terkecuali ditemuduga termasuk bacaan al-Quran,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, janji kenaikan elaun guru Kafa tidak pernah dituntut guru, tetapi ia adalah janji PRU13 lalu dan sewajarnya kerajaan negeri melunaskan janji yang dibuat.

 

Sementara itu, setiausahanya, Jamal Halim Tamat berkata, pihaknya meminta supaya kerajaan negeri menunaikan janji dan membuat kajian yang lebih menyeluruh sebelum mengumumkan kenaikan elaun guru Kafa.

 

Katanya, pada masa ini, terdapat lebih 1,000 guru Kafa di seluruh negeri ini memiliki diploma pendidikan, namun sebahagian besar daripada mereka masih belum diserap ke jawatan tetap seperti yang dijanjikan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.