Geng Faizal Cooper Lumpuh

SEPANG – Polis menahan 14 lelaki Geng Faizal Cooper berusia 20 hingga 50 tahun pada 22 dan 23 Februari lalu dipercayai terbabit dalam 10 kes samun di tapak projek sekitar Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

 

Suspek yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki warganegara, lima lelaki warga Indonesia dan enam lelaki warga India.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, penahanan suspek terbabit berikutan aduan satu kes samun di tapak projek Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dengkil pada 22 Februari lalu, 5.20 pagi.

 

Menurutnya, polis melakukan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan seterusnya berjaya menemui barangan curi hasil samun di kedai barang lusuh di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan Jalan Chan Sow Lin.

 

“Antara barangan curi yang dirampas ialah tembaga dan kulit PVC kabel disamun di tapak projek berkenaan.

 

“Pada masa sama, kita turut merampas dua kenderaan digunakan untuk aktiviti samun ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, semalam.

 

Zaldino berkata, lapan daripada suspek kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, manakala satu suspek sudah dituduh di mahkamah dan lima lagi diberi jaminan polis.

 

“Kita masih memburu dua suspek kes ini iaitu Mohd Nor Adol berusia 28 tahun atau dikenali sebagai Bro Din serta Mohd Faizal Itam, 27, dikenali sebagai Kecik,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.