Gadis Melayu Peluk Anjing: Kerajaan Negeri Tidak Akan Ambil Tindakan

Kuala Lumpur – Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan berhubung ‘isu gadis melayu pegang anjing’ baru-baru ini.

 

Beliau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim kepada SuaraTV berkata “Tiada tindakan akan diambil” ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap penganjur atau peserta kempen ‘Be A Paw Walker’ di Penang Times Square Ahad lalu.

 

Malik ketika diminta mengulas mengenai perkara itu turut berkata ” Hukum Islam jelas tentang hukum anjing, sebarang soalan sila SMS” ujarnya ringkas.

 

SuaraTV melalui ruangan ‘Laporan Khas’ semalam mendedahkan tindakan seorang gadis yang bergambar mesra bersama seekor anjing ketika kempen yang dianjurkan oleh sekumpulan pelajar Diploma dari Han Chiang College.

 

Kempen yang diadakan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ‘Save Our Strays itu yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penjagaan anjing liar sebagai haiwan peliharaan.

 

Sementara itu Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata tindakan gadis tersebut jelas menunjukkan umat Islam di negeri itu telah dipengaruhi dengan fahaman liberalisme.

 

“Walau bagaimanapun, saya belum pasti kesahihan gambar tersebut. Tetapi jika ia benar-benar berlaku, saya akui pengaruh liberalisme sedang menular di Pulau Pinang, malah perkara ini semakin menjadi-jadi,” katanya memetik kenyataan yang dikeluarkan portal FMT.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar berkata, kes gadis Melayu Islam memeluk anjing bukanlah kejadian terbaru menunjukkan mereka semakin bebas dan tidak menghormati pegangan agama Islam.

 

“Bukan sahaja kes memeluk anjing, malah ada kes yang mana budak-budak kita (beragama Islam) yang memakai salib, apabila ditanya, mereka menjawab tindakan tersebut merupakan trend dan fesyen terkini,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa, supaya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan kerajaan negeri bangkit mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membanteras fahaman liberalisme daripada terus menular.

 

“MAINPP dan Kerajaan Negeri tidak boleh ambil enteng benda-benda sebegini, kerana ia melibatkan akidah dan pegangan Islam di negara kita,” katanya.

 

Terdahulu sebuah NGO telah menganjurkan program ‘I Want Touch A Dog’ yang diadakan tahun lalu yang kemudiannya mengundang kontroversi dan dikecaman hebat oleh masyarakat.

 

Susulan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran tersebut yang berlangsung di Central Park, One Utama.

 

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini.

 

Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat).

 

Baca: Program Pegang Anjing Di Pulau Pinang?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.