DUN Chempaka: Proses Penamaan Calon Dibuka

PENGKALAN CHEPA – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chempaka dibuka 9 pagi ini di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.

 

Proses dijadual berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ibrahim Bakri Mat Deris mengumumkan nama calon yang bertanding dalam PRK itu dijadualkan 22 Mac sekiranya ada pertandingan.

 

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

 

Pada pilihan raya umum ke-13, Nik Abdul Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan mengalahkan calon BN, Wan Razman Wan Abdul Razak dengan majoriti 6,500 undi. Nik Abdul Aziz memperoleh 12,310 undi manakala Wan Razman mendapat 5,810 undi.

 

Dun Chempaka mempunyai 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa; 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

 

BN memutuskan tidak bertanding pada PRK itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir setelah Kelantan dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lepas. – Bernama / Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.