Saya Tak Pernah Mengaku Graduan Universiti Singapura – Zuraida

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan beliau bukanlah seorang graduan National University of Singapore (NUS) seperti didakwa pelbagai pihak termasuk warganet.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu juga tidak pernah menyatakan malah mendakwa dirinya sebagai seorang graduan NUS dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk berbuat sedemikian.

“Saya juga tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kemasukan maklumat tidak benar dalam Wikipedia yang mendakwa saya adalah kelulusan universiti tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selepas isu melibatkan ‘sijil palsu’ Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya heboh diperkatakan, perkara tersebut terus mendapat perhatian warganet apabila mereka mula ‘menyiasat’ sendiri beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain.

Antara yang turut terpalit dengan kontroversi tersebut termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain kelayakan akademik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Zuraida sendiri yang turut dipersoalkan.

Isu tersebut menjadi hangat apabila Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat terhadap­nya oleh aktivis politik yang mempertikai kesahihan sijil akademik itu, Marzuki kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).

Namun begitu, kredibiliti Universiti Antarabangsa Cambridge, AS itu dipertikai kerana didakwa merupakan ‘kilang’ mengeluarkan sijil pendidikan yang tidak sah termasuk boleh dibeli. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.