PRK Semenyih Medan PH Buktikan Masih Pilihan Rakyat – Azmin

SUBANG JAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih adalah medan untuk Pakatan Harapan (PH) membuktikan parti itu masih menjadi pilihan rakyat.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beberapa perkara berbangkit di Semenyih akan menjadi agenda utama untuk ditangani PH dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada parti itu.

“Inilah masa untuk kita kembali dan terus bersama rakyat bagi memastikan sokongan pengundi terus berpihak kepada kita.

“Pada peringkat Persekutuan, isu nasional akan kita tangani dengan sebaiknya, insya Allah semuanya akan kembali ke landasan yang sepatutnya dan kita lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Srikandi PKR di sini, semalam.

Yang turut hadir, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi; Ketua Srikandi PKR, Nurainie Haziqah Shafii serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai PRK Semenyih yang akan diadakan 2 Mac ini.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO dan PAS di PRK Semenyih, katanya itu hanya strategi pembangkang untuk PRK berkenaan.

“Tapi saya kira PH sudah membuktikan bahawa pembangunan di Selangor memberi banyak manfaat kepada rakyat Selangor, selama empat tahun saya di negeri Selangor, kita sudah berusaha sedaya upaya dan rakyat gembira dengan PH.

“Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, pertama kali dalam sejarah kita memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini membuktikan rakyat pada ketika itu berpuas hati dengan pencapaian PH dan ini akan terus dikekalkan,” katanya.

Mengenai kehadirannya di PRK Semenyih, Mohamed Azmin berkata beliau akan berkampung di Semenyih kerana Semenyih adalah sebahagian dari Selangor dan Selangor tetap di hatinya.

“Saya sudah sihat, badan saya bertambah ringan. Jadi, mudah saya bergerak (membantu kempen),” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.