Lebih Kurang 50 Peratus Pemimpin PH Miliki Ijazah Palsu, Kata Aktivis Politik

KUALA LUMPUR – Memalsukan sijil pengajian dan gelaran anugerah perkara biasa dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), dakwa aktivis politik, Khalid Mohd Ismath.

Malah dakwa beliau lagi, jika ada pihak yang rajin membuat semakan kelayakan menteri sekarang, akan terdedahlah kelulusan sebenar mereka.

“Saya boleh bertaruh, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka mempunyai ijazah palsu,” katanya menerusi ciapan terbaharu beliau dalam Twitternya, kelmarin.

Beliau yang sebelum ini antara pejuang PH untuk memerangi kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat pendedahan itu setelah heboh mengenai sijil kelayakan yang dimiliki Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya.

Bagaimanapun, Marzuki membuat pembetulan berhubung sijil pengajiannya, yang pada awalnya mengatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England, tetapi sehari selepas itu memperbetulkan kenyataannya bahawa ijazah diperolehinya dari Cambridge International University di Amerika Syarikat (AS).

Bahkan, isu memiliki ijazah palsu turut terpalit pada Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, apabila pelayar Facebook, Ops Johor mendakwa Osman tidak memiliki Ijazah Perakaunan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Khalid, beliau akan mendedahkan satu demi satu mereka yang menggunakan sijil pengajian palsu dan meminta netizen sentiasa mengikuti laman sosial Twitter dan Facebooknya yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

“Ini baru satu pendedahan dan saya akan memuatnaik satu (penipuan) lagi,” katanya yang turut berkongsi laporan akhbar bertarikh 11 Jun lalu mengenai kelulusan akademik Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Dalam laporan media itu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai akademik yang dimilikinya berikutan tular di laman sosial pihak yang mempertikaikan perkara itu.

Beliau yang enggang mengulas lanjut, dilaporkan berkata, terpulang kepada rakyat untuk menilai kesahihan Ijazah Kajian Perniagaan dari University Edith Cowan, Perth Australia yang dimilikinya.

Mengulas lanjut, Khalid turut membidas komen beberapa netizen dipercayai orang kuat PH, yang menuduhnya menipu ketika memuatnaik status berkenaan pemalsuan sijil pengajian oleh pemimpin mereka.

“Banyak lagi (akan terdedah). Tunggu lagi, ada ramai (didedahkan). Itupun budak PH murahan ada cakap aku tipu. Takut tak boleh cari makan kot,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.