Wi-Fi Percuma Di Gunung Everest

KATHMANDU – Pendaki kawasan Gunung Everest dan Annapurna bakal menikmati perkhidmatan wi-fi percuma bermula bulan hadapan bagi menyediakan perhubungan lebih baik kepada pendaki di puncak paling tinggi di dunia itu.

 

Pengerusi Lembaga Te­lekomunikasi Nepal (NTA), Digambar Jha berkata, NTA merancang untuk menyediakan zon wi-fi percuma di sepanjang Kem Pusat Lukla-Everest dan kawasan Annapurna, petik Bernama.

 

Kemudahan itu akan menjadikan perkhidmatan wi-fi paling tinggi di dunia apabila beroperasi di kem pusat Eve­rest yang terletak pada ke­tinggian 5,360 meter dari paras laut dan gelombang boleh didapati walaupun di altitud lebih tinggi seperti di puncak Everest.

 

Selepas membangunkan wi-fi di rantau Everest dan Annapurna, NTA merancang untuk meluaskan perkhidmatan itu ke kawasan-kawasan Himalaya lain, kata Jha.

 

“Ini akan memudahkan komunikasi kepada pendaki dan membantu usaha menyelamat sekiranya berlaku bencana alam di kawasan tersebut,” katanya.

 

Setakat ini, pendaki menggunakan telefon satelit yang mahal untuk berkomunikasi semasa mereka mendaki ke puncak Gunung Everest.

 

“Kini, gelombang wi-fi mungkin boleh didapati berhampiran puncak Everest jika bukan betul-betul di puncak,” kata pegawai NTA.

 

Perkhidmatan wi-fi akan beroperasi pada ‘Model Okumura’ yang menggunakan kabel gentian optik kos rendah untuk internet berkelajuan tinggi, kata Jha sambil menambah gentian optik khas tahan kepada cuaca melampau dan runtuhan ais akan digunakan untuk perkhidmatan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.