Trump ‘Kecundang’ Lagi

San Francisco: Mahkamah rayuan persekutuan menolak permintaan memberi semula kebenaran kepada Presiden Donald Trump melaksanakan arahan mengekang kemasukan rakyat tujuh negara majoriti Muslim.

 

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Sirkit Ke-9.

 
Mereka enggan menyanggah keputusan mahkamah lebih rendah yang sebelum ini menggantung arahan eksekutif Trump melarang rakyat negara majoriti Islam memasuki Amerika.

 

Bagaimanapun, status arahan itu mungkin berpindah ke Mahkamah Agung bagi tujuan rayuan.

 

“Tidak ada fakta yang menyokong dakwaan seperti dalam arahan itu yang jelas melawan asas demokrasi,” kata mahkamah.

 

Semua hakim itu menjelaskan bahawa mahkamah sebelum ini sudah membangkitkan isu diskriminasi agama iaitu satu dakwaan yang serius.

 

Minggu lalu, Hakim James Robart di Seattle mengeluarkan sekatan sementara terhadap arahan Trump berikutan saman yang dikemukakan oleh Washington dan Minnesota.

 

Bagaimanapun, rayuan kemudiannya dikemukakan oleh Jabatan Kehakiman mendakwa presiden ada hak untuk melakukan sekatan.

 

Jabatan itu menjelaskan bahawa mahkamah tidak boleh campur tangan usaha presiden yang cuba mengekang penularan keganasan di Amerika Syarikat.

 

Washington dan Minnesota mendakwa arahan Trump itu memberi kesan terhadap individu, perniagaan dan pusat pengajian.

 

Hujah turut diselitkan janji Trump sebelum ini hendak menyekat Muslim memasuki Amerika yang seolah-olah hendak mengenakan sekatan berasaskan agama.

 

Kedua-dua pihak dihujani pelbagai soalan dalam pertikaman lidah hampir sejam yang disiarkan secara langsung.

 

Ketiga-tiga hakim pula membidas dakwaan pentadbiran Trump yang menjelaskan arahan itu kerana gusarkan meletusnya keganasan.

 

“Saya tak faham mengapa kita hendak membuat satu kesimpulan ke arah kebencian agama?,” soal Hakim Judge Richard Clifton.

 

“Ada atau tidak kerajaan mempunyai bukti ke atas negara yang dikatakan ada kaitan dengan keganasan?,” soal Hakim Michelle T Friedland.

 

Mahkamah Agung kini adalah peluang terakhir buat pentadbiran Trump untuk meneruskan usaha itu.

 

Tapi, Trump mungkin kalah juga kerana hakim yang dilantik oleh beliau iaitu Neil Gorsuch, belum boleh menduduki kerusi penghakiman lagi untuk mempertimbangkan kes itu.

 

Arahan itu pula akan tamat dalam 90 hari dan ini bermakna sekatan ke atas arahan Trump akan berterusan sehinggalah kes itu didengar semula di Mahkamah Agung.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.