SPRM Siasat Kekayaan Luar Biasa Ketua Pemuda PKR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil keterangan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa pada usia muda.

 

Adam yang tiba di pejabat SPRM kira-kira 8.15 pagi tadi, menghabiskan masa lebih 4 jam memberi keterangan, termasuk maklumat mengenai sumber pendapatannya bagi membantu siasatan SPRM.

 

“Pertama, saya ingin ucap terima kasih kepada SPRM kerana memberi kerjasama baik, bilik selesa dan seperti saya janjikan saya akan memberi kerjasama baik dan saya ucapkan tahniah kepada SPRM kerana dengan siasatan ini, menunjukkan mereka sangat telus.

 

“Saya ditanya tentang sumber pendapatan saya dan saya sudah menyatakan semua,” katanya selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM, tengah hari ini.

 

Mengulas lanjut, Adam berkata, beliau sedia dipanggil buat kali ke-2 untuk membantu siasatan SPRM, jika perlu.

 

Beliau diarahkan untuk hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 2 hari lalu.

 

Pada 15 November lalu, Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos membawa wartawan menaiki helikopter untuk meninjau banglo milik Adam di Ampang.

 

Jamal mendakwa pemuda berusia 28 tahun itu turut memiliki pelbagai kereta mewah, meskipun baru 1 penggal memegang jawatan dalam PKR.

 

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kemampuan Adam yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memiliki kekayaan luar biasa.

 

Adam bagaimanapun menjelaskan, kediamannya di Ampang itu berharga RM1 juta, bukannya RM7 juta seperti didakwa Jamal kerana ia adalah rumah terbengkalai yang dijual bank.

 

Tegasnya, beliau tidak pernah mendapat sebarang peruntukan mahupun projek daripada kerajaan negeri selaku ketua Pemuda PKR Ampang.

 

“Saya bukan proksi (menteri besar) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau (Ahli Parlimen Ampang) Zuraida (Kamaruddin). Kenapa semua yang berlaku di Selangor perlu dikaitkan dengan Azmin?” soal Adam yang turut mencabar Jamal membuat laporan SPRM jika tidak berpuas hati dengan kekayaannya.

 

Satu laporan SPRM dibuat Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.