Pulihkan Prestasi Harimau Malaysia Kata Soh Chin Aun

Menjelang pemilihan Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan, presiden baharu diharap mampu membawa perubahan besar kepada prestasi skuad negara kata legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun.

 

Beliau yang memetik Kosmo berkata, maruah sukan nombor satu negara itu perlu segera dipulihkan sekali gus memperbaiki kedudukan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

 

Katanya, berdasarkan kedudukan semasa pencapaian skuad negara dilihat kian merosot dan ketinggalan berbanding negara rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam.

 

“Kita tidak kisah sesiapa sahaja yang bakal dipilih (presiden) tetapi individu tersebut mesti berusaha meningkatkan kembali prestasi pasukan kebangsaan dan membawa ia ke tahap lebih tinggi.

 

“Ini penting kerana beliau (presiden) akan membawa harapan kepada semua rakyat Malaysia yang sayangkan bola sepak negara dan mahu melihat pasukan kita kembali bersaing serta mencabar negara lain,” katanya.

 

Mengulas lanjut, katanya pimpinan dalam pentadbiran baharu FAM kelak perlu terdiri dalam kalangan mereka yang mahir mengenai sukan bola sepak supaya kualiti dan prestasi Harimau Malaysia dapat dipertingkatkan.

 

Katanya, pencapaian bola sepak negara kini dengan negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Asia Tengah dilihat ibarat langit dan bumi, terlalu jauh untuk dibandingkan.

 

“Kita tidak perlu berce­rita tentang persaingan di peringkat Piala Asia atau setaraf dengannya buat masa ini, apa yang pen­ting adalah memperbaiki kedudukan ranking terlebih dahulu memandangkan negara seperti Myanmar dan Indonesia semakin meningkat naik,” katanya.

 

Sebelum ini, Tunku Ismail telah mendapat restu daripada ayahanda baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bertanding jawatan Presiden FAM dalam kongres badan induk itu pada 25 Mac nanti selepas menerima kunjungan daripada ahli-ahli gabungan FAM di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, Isnin lalu.

 

Beberapa ahli gabungan itu berpendapat, Tunku Ismail sebagai tokoh paling layak untuk menerajui FAM selepas Tengku Abdullah berundur.

 

Tiga nama turut bersaing merebut kerusi jawatan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin Abu Bakar, 41; bekas Presiden Persa­tuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, 61, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, 66.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.