Promosi Batu Caves, Thaipusam Sebagai Produk Pelancongan Negara

KUALA LUMPUR –  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu usaha mempromosikan Batu Caves sebagai salah satu lokasi pelancongan negara terutama ketika musim perayaan Thaipusam dipergiatkan.

 

Ahmad Zahid berkata, seramai 1.5 juta pelancong tempatan dan luar negara dikhabarkan berku­njung ke Batu Caves untuk me­nyambut serta menyaksikan pera­yaan tersebut pada tahun ini.

 

“Saya merasakan perayaan ini bukan sahaja program keagamaan (masyarakat Hindu) yang perlu kita hormati.

 

“Sebagai produk pelancongan negara, saya harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengadakan promosi di seluruh dunia terhadap apa yang kita rayakan pada hari ini,” katanya ketika berucap semasa menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves dekat sini.

 

Ketibaan beliau telah disambut Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam. Yang turut hadir, bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany.

 

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, beliau juga akan memastikan peruntukan RM2 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menaik taraf Dataran Batu Caves dapat disalurkan segera.

 

Malah, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap lebih ramai pelancong khususnya dari negara India dapat mengunjungi Batu Caves dengan langkah penge­cualian visa yang diberikan kerajaan kepada negara itu.

 

“Semasa saya di Qatar baru-baru ini, seramai 500,000 rakyat negara India yang bekerja di sana akan diberikan pengecualian visa untuk melancong ke negara ini, malah Kabinet juga telah meluluskan rakyat negara India yang bekerja di luar, akan dike­cualikan visa untuk datang ke Malaysia,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat agar dapat mengukuhkan kepelbagaian budaya di negara ini bagi memastikan mereka dapat terus hidup dalam keadaan bersatu padu dan harmoni.

 

Beliau menambah, perpaduan dan keharmonian di negara ini bukan sekadar kata-kata dan retorik, sebaliknya perlu diterjemahkan dengan penuh keikhlasan oleh semua masyarakat.

 

“Oleh kerana kita mempunyai pelbagai agama, bahasa dan budaya, ia merupakan satu kekuatan dan perkara ini harus diperkukuhkan agar bangsa Malaysia terus kekal sebagai rakyat yang bersatu padu dan kukuh.

 

“Jangan ada timbul fitnah, khabar negatif mengenai berlakunya prejudis dan persepsi yang negatif dalam kalangan masyarakat kerana kita tahu negara ini tidak mampu untuk menghadapi kekacauan kerana perbezaan agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.