Lelaki Di Denda RM2,500, Curi Lima Ayam Kampung

KUALA TERENGGANU – Bapa kepada dua anak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas didapati bersalah mencuri lima ayam kampung sebelum dijual bagi mendapatkan wang untuk perbelanjaan harian keluarganya.

 

Tertuduh, Mohamad Bakri Sulong, 38, dari Seberang Takir, Kuala Nerus turut berdepan penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

 

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri lima ayam kampung milik Rosma Ahmad, 36, di Kampung Tanjung di Batu Rakit, jam 1 tengah hari pada 23 Januari lalu.

 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili Muhamad Hayatuddin Mohd.

 

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam memaklumkan dia mencuri kerana mahu mendapatkan wang untuk perbelanjaan keluarganya dan mohon mahkamah mempertimbangkan dengan meringankan hukuman.

 

Mengikut fakta kes, pengadu menyedari kehilangan ayam kampung yang diletakkan di dalam sangkar di hadapan rumah jam 1.30 tengah hari pada 23 Januari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.