Kisah Cinta Amar, Amyra

Sudah rezeki Amar dan Amyra. Selain digandingkan berlakon bersama, pasangan yang berkahwin pada 11 November tahun lalu ini turut berduet menyanyikan lagu Kisah Cinta Kita ciptaan DJ Fuzz dan Zah Amirul dengan lirik oleh Adik Viral.

 

Kerjasama Life Records dan Pena Creative Pictures milik Datuk Ziela Jalil itu turut menyaksikan rakaman video muzik lagu itu yang dilakukan di Cardiff, Wales, United Kingdom arahan Rahila Ali, tahun lalu.

 
Ditemui pada pelancaran video muzik Kisah Cinta Kita di Red Box Karaoke Gardens baru-baru ini, Amar dan Amyra mengakui menyanyi sekadar untuk suka-suka bagi menghiburkan peminat.

 

“Kami anggap peluang ini rezeki. Kami setuju terima kerana rasa mampu melakukannya dan bukanlah satu lagu yang hebat tetapi masih sedap didengar. Bahkan kami takkan ambil risiko untuk merakamkan lagu itu jika tak boleh menyanyikannya.

 

“Malah kami langsung tak terfikir untuk masuk bertanding dalam mana-mana pertandingan nyanyian kerana ia sekadar percubaan kami untuk mencuba cabang seni yang lain pula,” kata mereka.

 

Pada masa sama, pasangan yang turut membintangi drama Cinta Di Langit Cardiff terbitan Pena Creative Pictures itu tidak mahu kehadiran mereka disalah anggap oleh penyanyi yang mencari rezeki dalam nyanyian sepenuhnya.

 

“Kami terima apa saja kata orang terhadap pembabitan kami dalam bidang nyanyian. Orang boleh cakap apa saja tetapi kami sudah melakukan yang terbaik. Begitu juga dengan situasi sekarang apabila ramai penyanyi yang berlakon dan pelakon pula cuba jadi menyanyi. Kalau penyanyi berlakon, kami tak pula mengecam mereka.

 

“Itu periuk nasi masing-masing malah kami turut menyokong. Kita tolong satu sama lain. Dalam industri nyanyian pun wujud benda sama,” kata Amar.

 

Menurut mereka, jika berbuat salah, apa salahnya menegur dengan cara yang baik daripada mengecam.

 

“Sekurang-kurangnya kami boleh mewarnai industri nyanyian berbanding mereka yang asyik nak mengata. Kami tak kacau orang dan kecaman yang diterima tidak sedikit pun menjejaskan kerjaya seni kami. Lagu itu dirakam untuk mereka yang boleh menerimanya.

 

“Kalau lagu itu tiba-tiba mendapat sambutan, ia rezeki kami. Kalau terlalu ikutkan hati marah dengan kecaman orang, memang kami tak dapat buat apa-apa,” kata mereka yang menerima bimbingan vokal daripada Emilia AF3 ketika rakaman lagu itu.

 

Sebelum ini Amar pernah menghasilkan single berjudul Kita, manakala Amyra pula terbabit dalam lagu Ada Saja bergandingan dengan Waris dan Juzzthin.

 

Kisah Cinta Kita yang berentak balada mengisahkan pengalaman peribadi Amar dan Amyra sebelum mereka bertemu, bercinta dan seterusnya mendirikan rumah tangga.

 

Sementara itu, pasangan itu mengakui pernah berhasrat mengehadkan tawaran berlakon bersama selepas berkahwin, namun tidak menjadi kenyataan.

 

“Alhamdulillah, rezeki untuk kami berlakon berdua nampaknya banyak pula. Untuk apa kami menolak kerana ia permintaan stesen TV sendiri. Terbaru kami bergandingan dalam drama Jadikan Aku Yang Kedua, diadaptasi daripada novel terbitan Karya Seni untuk saluran Oasis, tayangan pada Mac ini.

 

“Lagipun, di negara kita banyak syarat yang ditetapkan untuk berlakon. Jadi apabila kami berlakon sebagai pasangan suami isteri dalam drama ini, ia jadi mudah,” kata Amar.

 

Bercerita mengenai keluarga, Amyra yang sudah tiga bulan bergelar isteri belum hamil.

 

“Bukan kerana saya terikat dengan mana-mana kontrak yang melarang saya hamil tetapi sebaliknya memang tiada tanda ke arah itu. Itu saja yang saya boleh kongsikan setakat ini,” katanya yang kini turut bergelar pengacara Muzik-Muzik.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.