Jualan Album Gaga Melonjak

LADY Gaga menjadi artis terbaru yang membuktikan persembahan mengagumkan pada perlawanan Super Bowl mampu melonjakkan jualan album digital mereka.

 

Menurut laporan Billboard, persembahan selama 13 minit bintang pop itu pada separuh masa kejohanan terbabit, baru-baru ini, membantu beliau mencatatkan jualan 150,000 album dan lagu digital pada Ahad lalu.

 

Sebagai perbandingan, Gaga hanya menjual kira-kira 15,000 album dan lagu digital pada 4 Februari. Pada persembahan berkenaan, Gaga memperdengarkan rangkaian lagu popularnya termasuk Just Dance, Poker Face dan Born This Way.

 

Million Reasons daripada album terkini penyanyi itu, Joanne, pula muncul sebagai lagu paling tinggi jualannya dengan lebih 45,000 muat turun, Ahad lalu.

 

Joanne ialah album digital dengan catatan jualan tertinggi pada hari berkenaan, dengan lebih 12,000 muat turun.

 

Persembahan separuh masa Super Bowl 2016 oleh kumpulan Coldplay dan Bruno Mars serta Beyonce turut membantu jualan album ketiga-tiga artis berkenaan.

 

Persembahan Beyonce pada Super Bowl 2013 juga menyaksikan impak sama ke atas jualan albumnya, begitu juga dengan kumpulannya, Destiny’s Child, yang bergabung kembali ketika menjayakan acara itu.

 

Pada minggu selepas persembahan Super Bowl 2013, gabungan jualan album fizikal mereka mencecah 28,000 unit, dengan kenaikan 40 peratus.

 

Jualan digital bagi lagu Beyonce dan Destiny’s Child pula mencecah 280,000 muat turun, naik sebanyak 70 peratus, mengikut perkiraan Billboard.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.