Jabatan Kesihatan Siasat Lelaki Maut Diserang Virus Misteri

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan sedang menjalankan siasatan berhubung kematian seorang lelaki berusia 59 tahun pada Ahad lepas yang disyaki akibat diserang virus misteri.

 

Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan dilakukan bersama JKN Selangor kerana mangsa sebelum itu berkunjung ke Kajang, Selangor.

 

“Buat masa ini, pihak kami percaya punca jangkitan itu adalah daripada bakteria Kledsiella Pneumonia A Typical, tetapi belum dapat disahkan lagi…kita dimaklumkan mangsa adalah penghidap diabetes, hipertensi dan asma,” katanya di pejabatnya di Wisma Persekutuan, semalam.

 

Dr Ahmad Razin mengulas laporan akhbar semalam mengenai seorang lelaki meninggal dunia, manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal di Hospital Tanah Merah, selepas kedua-duanya mengalami sesak nafas dan batuk teruk sebaik pulang daripada bercuti di Kajang.

 

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Razin berkata, pada 27 hingga 31 Januari lalu, mangsa pergi ke Kajang untuk menghadiri majlis perjumpaan keluarga bersama 38 orang lain.

 

“Ketika itu, mangsa mulai batuk serta demam sebelum pulang pada 4 Februari lalu dan mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM) kerana sesak nafas, tetapi meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada keesokan harinya disebabkan radang paru-paru,” katanya.

 

Mengenai seorang lelaki berusia 29 tahun yang kini kritikal di HTM, Dr Ahmad Razin berkata, mangsa yang tinggal di Kuala Lumpur menghadiri majlis perjumpaan keluarga itu, turut mengalami demam dan batuk.

 

“Beliau dikatakan pulang ke Tanah Merah pada 6 Februari untuk menziarahi jenazah kes pertama, namun dia kini dirawat di HTM sejak 8 Februari apabila keadaannya semakin teruk.

 

“Mangsa ke-2 kini diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi HTM, malah turut didiagnos menghidap radang paru-paru atau ‘Severe Pneumonia’.”

 

Beliau berkata, 11 orang daripada ahli keluarga sama turut dikesan mengalami gejala demam dan batuk, manakala 2 daripadanya dimasukkan ke hospital untuk pengawasan.

 

“Semua yang lain dinasihatkan berada di rumah, mengelak berada di tempat awam dan mengamalkan kebersihan diri, terutamanya ketika bersin, batuk dan basuh tangan,” katanya.

 

Dr Ahmad Razin berkata, siasatan mendapati semua 39 ahli keluarga terbabit tidak mempunyai sejarah lawatan ke luar negara, termasuk mengerjakan umrah.

 

Katanya, pihaknya juga akan menghantar spesimen ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk kajian dan keputusan ujian itu akan membantu siasatan punca sebenar jangkitan paru-paru itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.