Ifa Raziah Berehat, Pantang 10 Hari Di Rumah

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah, semakin pulih daripada tiga jenis penyakit yang dialami sebelum ini iaitu bengkak hati, refluks gastroesofageal dan hiatus hernia.

 

Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 40, menjalani pembedahan pada 4 Februari lalu di sebuah pusat perubatan swasta di sini, dan dibenarkan pulang ke rumah, semalam, petik BH.

 

“Alhamdulillah, penyakit saya sudah pun dirawat. Bagaimanapun perut masih sakit kerana menerima lima tebukan ketika pembedahan. Nak berjalan pun masih sukar.

 

“Sekarang, saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama 10 hari dan berpantang makan. Ia agak menyeksakan kerana saya perlu menyentuh makanan berbentuk cecair saja,” katanya.

 

Dalam pada itu, menurut Ifa, fibroid yang dialaminya tidak memerlukan pembedahan segera memandangkan tidak memudaratkan bahagian dalaman badan.

 

Ifa yang kini berehat di rumah tanpa membuat sebarang aktiviti mengakui berasa bosan.

 

“Bosan pula duduk rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti, tetapi nak buat macam mana, badan perlu berehat.

 

“Mujur ada laman sosial dan sedikit kegiatan terapi di rumah. Saya ada menghubungi perkhidmatan spa datang ke rumah bagi membuat rawatan seperti wanita lepas bersalin, tetapi bukan pada bahagian perut.

 

“Walaupun tamat tempoh rehat, doktor turut menasihatkan saya agar tidak mengangkat barang yang berat selama beberapa bulan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.