Hakim Kecewa Sikap Trump

WASHINGTON – Seorang calon hakim Mahkamah Agung, Neil Gorsuch menyifatkan serangan berterusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap hakim dan mahkamah suatu yang ‘mengecewakan’ dan ‘mematahkan semangat.’

 

Gorsuch berkata demikian kepada seorang senator AS daripada Parti Demokrat, Ri­chard Blumenthal dalam satu perjumpaan kelmarin.

 

Sejak Trump menamakan beliau sebagai calon hakim Mahkamah Agung pada 31 Ja­nuari lalu, Gorsuch, 49, berdiam diri walaupun bilionair itu menggunakan Twitter untuk mengutuk keputusan seorang hakim persekutuan di Seattle kerana menghalang sekatan imigran dan pelancong dari tujuh negara Islam.

 

“Beliau menyatakan secara tepat bahawa ia (tindakan Trump) mengecewakan dan mematahkan semangat,” kata Blumenthal menurut agensi berita CNN.

 

Jurucakap bagi proses pengesahan untuk Gorsuch, Ron Bonjean juga mengesahkan bahawa calon hakim Mahkamah Agung itu ada membuat komen tersebut.

 

Gorsuch, seorang hakim dilaporkan berkhidmat di Mahkamah Rayuan AS 10th Circuit di Denver, Colorado sejak 2006. Beliau dianggap sebagai hakim konservatif bijak.

 

Sekiranya Gorsuch melepasi proses pemilihan, beliau akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan mendiang Antonin Scalia, seorang hakim konservatif yang meninggal dunia selepas 30 tahun berkhidmat di mahkamah tinggi. – AFP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.