Dapat ‘Layanan Istimewa’ Di Bank Selepas Baling Telur Di Pejabat Digi

PETALING JAYA — Tindakan membaling telur di ibu pejabat Digi, yang menggemparkan ramai, bukan sahaja membolehkan pelakunya Mohd Al Iman Zakaria mendapat pampasan.

 

Malah insiden itu awal bulan lalu, yang menular melalui rakaman video di media sosial, mengubah tanggapan masyarakat terhadapnya.

 

Iman mendakwa susulan kejadian itu, ada pihak lain yang berurusan dengannya cuba mengelak peristiwa berkenaan berulang di pejabat masing-masing.

 

“Selepas kejadian, saya pergi ke bank. Selepas saya ambil nombor [giliran], saya terus dipanggil ke kaunter tanpa perlu menunggu.

 

“Pada hari kejadian juga, Digi memberi pengguna 2GB data. Ramai yang mengucapkan terima kasih kepada saya,” katanya, yang melihat hikmah di sebalik tindakan berang tersebut.

 

ProjekMMO semalam melaporkan Iman mendapat pampasan Digi selepas protes baling telur apabila tidak tahan lagi berdepan masalah terputus panggilan telefon sejak 2015.

 

Jumlah pampasan bagaimanapun enggan didedahkan ketika diwawancara baru-baru ini bagi, tambahnya, “mengelak lebih ramai mengambil tindakan serupa”.

 

Pada 6 Januari lalu, Iman menjadi perhatian selepas gelagatnya “mengamuk” di pejabat DiGi di kawasan industri Subang dekat sini menular di media sosial.

 

Beliau juga memuatkan video tersebut di Facebook peribadinya. Namun, tambahnya, bantahan gaya seorang yang berang itu bukan perwatakan sebenarnya.

 

Perunding teknologi maklumat ini berkata insiden tersebut membuktikan kepada pelanggan khidmatnya bahawa gangguan rangkaian bukanlah alasan yang direka-reka.

 

“Apabila mereka melihat insiden itu, pelanggan saya percaya, saya ada masalah dengan Digi. Sebelum ini mereka asyik marah tidak dapat menghubungi saya.

 

“Dengan insiden itu, baru terbukti. Kalau tidak, mereka kata saya mahu lari atau tidak layan mereka. Tularnya insiden itu baru mereka percaya.

 

“Saya bukan hendak mempromosikan keganasan tetapi [tindakan] itu satu-satunya cara. Kerajaan dan syarikat telekomunikasi tengoklah apa yang terjadi nanti.

 

“Sekarang mungkin baling telur,” kata Iman, sambil tersenyum, kepada ProjekMMO.

 

Beliau berkata kejadian itu diharap dijadikan iktibar kepada syarikat telekomunikasi dan pengguna yang berdepan masalah sama.

 

Katanya, apa yang berlaku tetap akan terpahat dalam sejarah dan beberapa saranan diberikan kepada Digi untuk membaiki keadaan.

 

“Apabila akhirnya sudah baik, saya kata pada mereka [Digi], saya tidak boleh padamkan semua entri di Facebook untuk mengajar mereka,” kata Iman lagi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.