Chong Wei, Frost Dinasihatkan Buang Ego

PERSELISIHAN faham antara jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dianggap selesai.

 

Mereka dinasihatkan mengetepikan ego masing-masing demi kepentingan negara dan perjuangan sukan.

 

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (gambar kecil) berkata, kedua-dua individu tersebut, baik Chong Wei mahu pun Frost memainkan pera­nan besar dalam menyumbang kepada prestasi BAM yang kini berada pada tahap yang membanggakan.

 

“Masalah ini sudah selesai, saya rasa buat masa ini biar Chong Wei tenang dan pulih dahulu daripada kecederaan pada bahagian lutut kirinya dan BAM akan terus memberikan kemudahan terbaik untuk dia beraksi semula secepat mungkin.

 

“Bagi Frost pula, mungkin cara beliau agak keras kerana pendekatannya sebagai orang Eropah agak berbeza dengan orang Asia, namun matlamat dan perjuangannya harus dipuji.

 

“Frost diberi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok tiga kuasa besar dunia menjelang 2020 dan meraih emas pertama pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

 

“Chong Wei pula sudah menyatakan kesediaan untuk membantu meningkatkan kualiti badminton negara,” kata Norza ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang menyertai Sukan Musim Sejuk Asia Sapporo Jepun 2017 di Bangunan Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam.

 

‘Perang’ antara Chong Wei dan Frost tercetus apabila pemain No. 1 dunia itu mengalami kecederaan selepas terjatuh di gelanggang yang licin semasa menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

 

Chong Wei menyalahkan Frost atas insiden yang berlaku dan memberitahu, kecederaan berkenaan dapat dielakkan sekiranya legenda badminton Denmark itu menukar tikar gelanggang yang licin di akademi tersebut lebih awal sebelum sebarang aduan dibuat.

 

Mengulas lanjut, Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) BAM berkata, perselisihan yang berlaku itu bukan isu besar, malah BAM yakin ia dapat ditangani secara profesional kerana ia melibatkan dua individu dan bukannya antara institusi.

 

“Kemarahan Chong Wei terhadap Frost meledak dalam keadaan dia berada dalam kesakitan. Pada masa sama, orang ramai mengharapkan jaguh badminton negara itu menunjukkan prestasi terbaik menjelang kejohanan Siri Super Premier Seluruh England, Mac depan.

 

“Bagaimanapun keadaan mula stabil, Tan Sri Mohamed Al Amin Abd. Majid (Pemangku Presi­den BAM) telah berjumpa Chong Wei malam tadi (semalam). Saya sendiri dan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) juga telah menelefonnya,” katanya.

 

Beliau turut mengakui perselisihan faham antara pemain berusia 35 tahun itu dan Frost bukan pertama kali berlaku, namun ia menjadi serius apabila Chong Wei secara lantang mempersoalkan kenyataan Frost yang menyentuh mengenai persaraannya daripada sukan badminton.

 

Sementara itu, Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada BAM untuk menyelesaikan isu berkenaan dan kedua-dua pihak perlu terus memberikan komitmen kepada badan induk badminton negara tersebut.-Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.